Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon enggan memberikan komen mengenai situasi padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjelang perlawanan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Chinese Taipei pada Selasa.
Dalam sidang media sebelum perlawanan di Wisma FAM hari ini, Pan-gon seolah-olah terkedu ketika ditanya mengenai situasi semasa padang memandangkan isu ini sentiasa menghantui pasukan negara setiap kali perlawanan antarabangsa.
Baca Juga:
- Kim Pan-gon Optimis Malaysia Mampu Layak Ke Pusingan Ketiga
- Gary White: Chinese Taipei Datang Ke Sini Untuk Menang
- ‘Ayah Dari Sabah’ – Ini Calon Pemain Warisan Terbaru Negara
“Mengenai isu padang, saya tak boleh nak cakap banyak tetapi saya rasa situasi sama berlaku kepada pihak lawan jadi saya harap keadaan padang dalam keadaan baik untuk bermain esok,” kata Kim pan-gon menurut laporan Stadium Astro.
Sebelum ini, pemilik kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan mendermakan rumput jenis hibrid untuk ditanam di padang SNBJ dimana keputusan ini diambil berdasarkan hasil kaji selidik yang dijalankan oleh JDT.
“Hasil kaji selidik yang dijalankan di padang Stadium Nasional Bukit Jalil telah menunjukkan bahawa rumput hibrid lebih memenuhi keperluan stadium pelbagai guna kerana ketahanan dan fleksibilitinya sesuai untuk acara sukan serta bukan sukan.
“Berdasarkan hasil kaji selidik tersebut dan kejayaan penyelidikan yang dijalankan oleh JDT di Larkin, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor akan mendermakan rumput jenis hibrid yang sedang ditanam di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos kepada Stadium Nasional,” kata kenyataan rasmi.
Rumput Zeon Zoysia yang didermakan oleh TMJ kepada SNBJ sebelum ini akan dibuka dan dipasang di padang Majlis Sukan Negara, KL Sports City.
Padang tersebut sering digunakan oleh Sekolah Sukan Bukit Jalil dan pasukan-pasukan bola sepak negara.
PSM mendapat banyak kritikan khususnya dari peminat bola sepak tanah air dimana mereka menganggap badan itu gagal menjaga permukaan padang yang ditanam rumput Zeon Zoysia.
Keadaan padang SNBJ beberapa kali berada dalam keadaan teruk ketika Malaysia menerima kunjungan Oman pada Mac lalu dan juga ketika JDT bertemu Terengganu dalam perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu.