Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon meluahkan rasa kecewa beliau selepas menerima banyak mesej di laman media sosial Instagram miliknya yang mempersoalkan keputusannya mengenai pemilihan pemain.
Perkara ini membuatkan Pan-gon tertekan dan beliau mahu agar peminat berhenti menghantar mesej kepadanya dan berikan ruang untuk pasukan negara mempersiapkan diri bagi menghadapi dua perlawanan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Baca Juga:
- Pernah Siku Azam Azmi, Doan Van Hau Terlepas Piala Asia 2023
- Piala MFL: Ini Sebab Hairuddin Omar Letakkan Ubaidullah Di Posisi Tengah
- JDT Muncul Sebagai Kelab Nombor Satu Di Asean
“Terlalu banyak permintaan dan terlalu banyak mesej di Instagram saya, yang mana ini bukan cara yang ideal untuk berkomunikasi. Kami mencari pemain yang sesuai dengan pasukan dan boleh menambah nilai. Namun, mesej di media sosial berhubung pemilihan pemain amat tidak menggembirakan dan memberi tekanan.
“Saya percaya kita telah memilih pemain yang betul untuk menjalankan tugas,” kata Kim Pan-gon dipetik dari laporan NST.
Skuad Harimau Malaya terus giat menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, malam ini.
4️⃣ hari lagi menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis ini.#FAM #HarimauMalaya #FIFAWorldCup #AsianCup2027 pic.twitter.com/blpFLQTkIU
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) November 12, 2023
Antara keputusan Pan-gon yang meraih persoalan dari peminat ialah kehadiran pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh dalam senarai 25 pemain yang dipanggil kali ini.
Setelah lama menghilang dari radar pasukan negara, Sumareh kembali dipanggil untuk beraksi selain empat lagi pemain iaitu Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Shahrul Saad, Syahmi Safari dan Afiq Fazail.
Rata-rata peminat bola sepak tanah air berpendapat terdapat pemain lain yang lebih layak untuk dipanggil bagi membawa cabaran pasukan negara dalam saingan kelayakan kali ini.
Ada peminat yang berpendapat Syafiq Ahmad lebih layak untuk berada dalam senarai akhir selepas pemain itu menampilkan kebangkitan dengan menjaringkan dua gol ketika Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Perak dengan keputusan 8-1 pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2023.
Selain itu, ada peminat yang berpendapat seorang lagi pemain JDT, Hong Wan sepatutnya berada dalam senarai 25 pemain bagi memantapkan lagi bahagian tengah negara kerana di posisi sayap, pasukan sudah mempunyai pemain yang cukup dan mempunyai kualiti yang tersendiri.
Pasukan negara akan memulakan sesi latihan pada hari Jumaat, 10 November 2023 sebelum menghadapi perlawanan pertama dan kedua Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula 16 November.
Malaysia akan turun menentang Republik Kyrgyz pada Khamis, 16 November 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum terbang ke Taipei City bagi perlawanan kedua bertemu Chinese Taipei di tempat lawan pada Selasa, 21 November 2023.