Ketua jurulatih pasukan negara, Kim Pan-gon masih berhasrat untuk terus membimbing skuad kebangsaan meskipun gagal untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2027.

Malaysia menamatkan saingan kumpulan D aksi pusingan kedua di tangga ketiga sekaligus terlepas tiket untuk menjadi salah satu 18 pasukan terbaik yang mana diisi oleh Oman dan Kyrgyzstan.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

Ketika sidang media selepas perlawanan, Pan-gon menegaskan beliau komited untuk terus membimbing Malaysia dan meletak jawatan bukan jalan penyelesaian kepada masalah prestasi pasukan negara yang sedikit hambar ketika ini.

“Saya mahu kekal, saya tidak pernah meminta untuk meletak jawatan. Kami akan terus berjuang selepas ini. Meninggalkan pasukan tiada dalam perancangan saya.

“Kami menyasarkan sekurang-kurangnya tujuh gol ketika menentang Chinese Taipei, namun gagal berbuat demikian. Ia satu keputusan yang menyakitkan. Perancangan kami kurang menjadi dan kami membuat kesilapan sehingga ketinggalan pada separuh masa pertama.

“Kami bangkit pada separuh masa kedua, dan kami perlu belajar dari kesilapan ini untuk masa depan yang lebih baik,” kata Kim Pan-gon.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), pasukan lawan membuka tirai jaringan menerusi Yu Yao-hsing ketika aksi memasuki minit ke-20.

Gol Chinese Taipei itu berpunca daripada hantaran lolos Ange Kouame yang mencari Yao-hsing lalu beliau mudah menewaskan penjaga gol Malaysia, Azri Ghani.

Kemasukan Sergio Aguero pada babak kedua memberikan idea lebih segar buat jentera serangan Malaysia dan hampir membuahkan hasil pada minit ke-49. Namun, jaringan Akhyar dibatalkan kerana beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Kehampaan itu ditebus empat minit kemudian apabila percubaan Safawi dari luar kawasan penalti setelah menerima umpanan Aguero gagal diselamatkan dengan baik penjaga gol, Chieh Pan-Wen untuk kedudukan kembali terikat.

Paulo Josue kemudiannya meletakkan Malaysia dihadapan pada minit ke-69 selepas beliau menolak masuk bola setelah menerima hantaran daripada La’vere Corbin-Ong.

Pemain yang membuat penampilan kedua bersama skuad negara, Adib Ra’op mendapatkan jaringan sulungnya pada lewat aksi untuk Malaysia mengesahkan kemenangan 3-1.

Namun kemenangan ini tidak cukup ekoran Kyrgyzstan mencatat keputusan seri ketika berdepan Oman dan Malaysia terpaksa beraksi di pusingan ketiga bagi kelayakan Piala Asia 2027.