Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon menafikan berita yang mengatakan beliau telah menghantar surat yang mengatakan sedia untuk meninggalkan pasukan negara sekiranya khidmatnya sudah tidak diperlukan.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini sekaligus menepis dakwaan yang dibuat oleh salah satu akhbar ternama negara.

Baca Juga:

“Saya ingin menafikan laporan berita yang disiarkan di portal BH Online pada jam 7:57 malam tadi bahawa saya telah menghantar surat kepada FAM dan bersedia untuk meninggalkan skuad Harimau Malaya.

“Kenyataan dalam laporan berita tersebut yang dipetik daripada sumber itu sama sekali tidak tepat kerana saya tidak menghantar apa-apa surat berkaitan perkara tersebut.

“Selepas membaca laporan berita tersebut, saya terus menghubungi Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin bagi menjelaskan mengenai perkara ini dan saya sendiri telah memberi jaminan kepada beliau bahawa misi saya bersama skuad Harimau Malaya belum berakhir dan saya tidak akan meninggalkan pasukan ini begitu sahaja.

“Untuk makluman semua penyokong Harimau Malaya, saya akan terus komited untuk membimbing skuad Harimau Malaya sehingga kontrak saya berakhir pada hujung 2025 dengan misi utama untuk membawa Malaysia layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak automatik ke Piala Asia 2027,” kata Kim Pan-gon.