Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon optimis pasukan negara mampu untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Beliau berkata demikian selepas Malaysia seri 1-1 ketika menentang Kyrgyzstan di tempat lawan sekaligus berdepan misi sukar apabila bertemu Chinisw Taipei di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun ini.

Baca Juga:

Ketika ini, pasukan negara berada di tangga ketiga dalam carta kumpulan D dengan tujuh mata manakala Kyrgyzstan di tangga kedua dengan 10 mata dan Oman di tangga pertama dengan 12 mata.

“Kami mempunyai kelebihan apabila beraksi di laman sendiri. Bukan mudah untuk pasukan pelawat beraksi di SNBJ. Kami akan berjuang sehingga ke saat akhir. Itu yang paling penting.

“Kami boleh melakukan sesuatu di laman sendiri. Jika Kyrgyzstan tewas kepada Oman dengan keputusan 2-0, manakala kami mampu untuk menjaringkan lebih dari tujuh gol, maka kami yang akan layak,” kata Kim Pan-gon ketika sidang media selepas perlawanan.

Pada perlawanan semalam, pasukan negara menampilkan semangat juang yang tinggi meskipun turun tanpa beberapa tonggak utama yang tidak dibawa dalam skuad kali ini.

Kyrgyzstan terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Ghulzhigit Alykulov yang mudah menewaskan Azri Ghani selepas mendapat lorongan baik daripada Joel Kojo.

Skuad negara berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-38 selepas tandukan Dion Cools ketika situasi sepakan percuma membias terkena Odilzhon Abdurakhmanov.

Usaha kedua-dua pasukan untuk menambah jaringan pada separuh masa kedua tidak berjaya direalisasikan sekali gus kedudukan 1-1 itu kekal hingga tamat permainan.