Legenda bola sepak Jepun, Kazuyoshi Miura atau lebih dikenali dengan panggilan ‘King Kazu’ jelas masih mahu menikmati karier hebatnya dalam bola sepak dan tidak langsung memikirkan tentang persaraan.

Pada usia 58 tahun, beliau masih mengimpikan untuk terus diberikan peluang beraksi dalam usaha menampilkan sumbangan berkesan buat pasukannya, Atletico Suzuka.

Atletico Suzuka pada ketika ini beraksi dalam Japan Football League (JFL) yang merupakan saingan liga divisyen keempat sistem liga bola sepak Jepun.

Dipinjamkan dari Yokohama FC, penyerang berpengalaman ini terlepas sembilan aksi awal ekoran kecederaan dialaminya dan mula diletakkan di bangku simpanan pada 1 Jun lalu (aksi menentang Maru. Okazaki).

King Kazu
Kredit Foto: Fuminori Ogane / The Yomiuri Shimbun via AFP

Beliau dimasukkan ketika aksi hanya berbaki lapan minit untuk ditamatkan pada pertemuan ke-12 liga bertemu Yokohama SCC dimana ia merupakan musim ke-40 berturut-turut Miura beraksi dalam kancah bola sepak profesional.

Lebih menarik pada 6 Julai lalu, Kazuyoshi Miura telah diturunkan sebagai kesebelasan utama dan turut diberikan peranan sebagai ketua pasukan ketika menentang Veertien Mie.

King Kazu Masih Belum Puas

Sehubungan dengan itu, King Kazu masih dahagakan aksi kompetitif walaupun usianya sudah semakin membatasi kudratnya ketika beraksi.

“Saya harap dapat bermain semula dengan menunjukkan karakter saya. Saya berjaya beraksi hasil sokongan semua pihak.”

“Saya kini bersedia untuk tingkatkan lagi rentak permainan selepas ini,” ujar beliau menurut sumber laporan The Japan Times.

“Daripada memikirkan soal bersara, saya lebih fokus untuk terus mencabar diri dan memberikan lebih banyak usaha.”

King Kazu
Kredit Foto: AFP

“Bukanlah perkataan ‘bersara’ tiada dalam kamus hidup saya, tapi saya memang tak pernah rasa keinginan untuk lakukannya.”

Memegang status selaku pemain tertua yang beraksi dalam kancah bola sepak profesional, King Kazu pernah berhasrat untuk beraksi sehingga usianya menjengah 60 tahun.

Satu pencapaian peribadi yang pastinya akan sentiasa meleburkan rekod serta sejarah bola sepak dan segalanya menjadi kisah luar biasa buat beliau sehingga ke hari ini.

Beliau yang beraksi 89 kali untuk Jepun, memenangi Piala Asia 1992 adalah penjaring kedua terbanyak negaranya dengan 55 gol manakala penampilan antarabangsa terakhir pada 2000.