Legenda bola sepak Jepun, Kazuyoshi Miura atau lebih dikenali dengan panggilan ‘King Kazu’ tidak melihat usianya menjadi masalah untuk terus beraksi di pentas kompetitif.

Hal ini kerana penyerang yang bakal menjengah usia 59 tahun pada Februari depan baharu sahaja memeterai kontrak selama enam bulan sebagai pemain pinjaman kelab J.League 3, Fukushima United.

Baca Juga:

Beliau sebelum ini beraksi bersama Atletico Suzuka yang bersaing dalam saingan divisyen empat, Japan Football League. Namun kelab itu terjerumus ke Tokai Soccer League.

Sehubungan dengan itu, King Kazu masih dahagakan aksi kompetitif walaupun usianya sudah semakin membatasi kudratnya ketika beraksi.

Ia bakal menjadi musim ke-41 berturut-turut Kazuyoshi Miura beraksi dalam kancah bola sepak profesional.

King Kazu
Kredit Foto: Fuminori Ogane / The Yomiuri Shimbun via AFP)

“Saya dengan sukacita ingin mengumumkan perpindahan saya ke Fukushima United FC, memulakan cabaran baharu,” ujar beliau dalam kenyataannya di laman sesawang rasmi Fukushima United.

“Pertama sekali, saya berjanji kepada para pemain, kakitangan, peminat, penyokong, syarikat rakan kongsi, dan komuniti tempatan Fukushima United FC bahawa saya akan bermain dengan kemampuan terbaik untuk menyumbang kepada pasukan.”

“Semangat saya terhadap bola sepak langsung tidak berubah walaupun saya sudah lebih tua. Saya ingin menulis sejarah baharu bersama penyokong kelab.”

King Kazu Masih Belum Puas

Memegang status selaku pemain tertua yang beraksi dalam kancah bola sepak profesional, King Kazu pernah berhasrat untuk beraksi sehingga usianya menjengah 60 tahun.

Satu pencapaian peribadi yang pastinya akan sentiasa meleburkan rekod serta sejarah bola sepak dan segalanya menjadi kisah luar biasa buat beliau sehingga ke hari ini.

Beliau yang beraksi 89 kali untuk Jepun, memenangi Piala Asia 1992 adalah penjaring kedua terbanyak negaranya dengan 55 gol manakala penampilan antarabangsa terakhir pada 2000.