Nota Editor: Kisah benar ini adalah daripada perkongsian Syahril A. Kadir di Facebook wall beliau. Kami kongsikan semual di sini dengan izin daripada penulis. Untuk pengetahuan, penulis artikel adalah bekas wartawan jenayah di Utusan Malaysia. Semoga kisah ini dapat membawa pengajaran buat anda.
Kenangan Tak Dapat Dilupakan Bersama Pak Leh, Banduan Paling Lama Ditahan Di Penjara Malaysia
TARIKH 3 Oktober 2006. Itulah antara tarikh yang aku tak mungkin lupa selama bertugas sebagai wartawan jenayah. Aku diarahkan pada pagi itu untuk segera bertolak daripada pejabat Utusan Malaysia di Jalan Chan Sow Lin, Sungai Besi untuk ke Penjara Taiping.
Ini kerana pihak Jabatan Penjara memberi peluang untuk aku menemubual secara eksklusif seorang banduan yang telah mencatat sejarah sebagai banduan paling lama berada dalam tahanan iaitu Salleh Rashid atau dikenali sebagai Pak Leh.
Sejurus selepas pembebasannya di Penjara Taiping.
Pada hari berkenaan, dia akan dibebaskan setelah 31 tahun merengkok dalam penjara. Jadi di saat ramai pemberita daripada pelbagai agensi berita berhimpun di luar tembok penjara, aku telah diberi peluang untuk masuk ke dalam dan mengikuti proses pembebasannya daripada sel hinggalah ke pintu besar penjara tersebut.
Untuk rekod, Salleh dan seorang rakannya, Jamil, dijatuhkan hukuman sepanjang hayat pada 1976 selepas terbabit dalam cubaan merompak bersenjata api dalam satu kejadian di Alor Star.
Ketika itu, Pak Leh berusia 27 tahun dan Jamil pula 26 tahun. Hari ini semasa dibebaskan, Pak Leh berusia 57 tahun dan Jamil 56 tahun. Setelah menjalani hukuman penjara selama 30 tahun, 11 bulan dan 9 hari, mereka diberi pengampunan oleh Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.
Pak Leh dipenjarakan di Penjara Taiping, Perak manakala Jamil dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, Selangor
Sebaik sahaja dibebaskan, kami terus mengikutnya sehingga ke rumah keluarganya yang terletak di Kampung Dusun Madinah, Changkat Jering iaitu kira-kira setengah jam perjalanan daripada penjara berkenaan.
Baca: Ini Rupa Penjara Yang Mengajar Coding Tempat Mark Zuckerberg Lawati
Pertama kali memeluk ayahnya setelah 31 tahun
Rumah tersebut hanya didiami adiknya, Abdul Wahab dan bapanya, Talib Arabulah yang kini hanya mampu terbaring akibat lumpuh.
Keadaan rumah tersebut agak daif dan terletak di dalam kawasan semak di pinggir kampung berkenaan. Lebih malang lagi, Abdul Wahab tidak dapat bekerja tetap kerana terpaksa menjaga ayah mereka yang uzur itu.
Pak Leh memberitahu kami, di sebalik ‘kekejaman’ penjara, tempat itu jugalah yang mengajarnya menjadi manusia.
Daripada tidak tahu membaca al-Quran, Pak Leh akhirnya dapat menghafal surah-surah yang panjang dan mengajar pula para penghuni penjara membaca kitab suci itu.
Dia juga dilantik menjadi imam di dalam surau penjara dan sering mengetuai solat tarawih semasa bulan Ramadan. Di sana juga Pak Leh belajar membuat kasut sehingga mampu menghasilkan ribuan jenis kasut yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan rupa.
Mencari rezeki membaiki kasut di hujung sisa usianya
Sebelum kami pulang, Pak Leh sempat meminjam telefon bimbit kami untuk menelefon keluarganya yang lain bagi memaklumkan pembebasannya.
Dia ternyata kekok! Dipegang, dibeleknya telefon bimbit itu, kesian Pak Leh. Kami juga difahamkan dia takut turun dari kereta seorang diri kerana berasa janggal dan kekok.
Actually aku tak sangka hubungan aku dengan Pak Leh bukan sekadar seorang wartawan yang menemubual subjeknya semata-mata. Sejak aku menulis mengenai beliau dalam akhbar (seperti yang tersiar di atas), Pak Leh seolah-olah menganggap aku sebagai anaknya sendiri.
Acapkali kami bertemu, berbual malah berbalas SMS (sebenarnya aku pun tak tau macam mana Pak Leh boleh tahu cara dan taip SMS, mungkin dia minta tolong anak buahnya barangkali). Bahkan setiap kali aku pulang berhari raya di Pulau Pinang, aku mesti singgah di rumahnya.
Dipanggil mengadap Raja Nazrin usai pembebasannya
Namun ada satu peristiwa yang membuatkan hubungan kami tiba-tiba jadi renggang. Segalanya bermula apabila aku yang ketika itu sudah berhenti dari Utusan, menyertai sebuah syarikat pembekal dokumentari untuk Astro.
Dalam salah satu program yang aku kendalikan, aku mengambil Pak Leh untuk sebuah program yang berjudul Citra Manusia. Bila ia ditayangkan, ramai yang mencadangkan agar Pak Leh dipilih untuk menyertai program Jemputan Umrah yang ketika itu mendapat sambutan hangat di Astro Oasis.
Untuk itu kami pun berusaha sungguh-sungguh agar ia dapat direalisasikan. Pada satu hari, tiba-tiba nama Pak Leh ‘naik’, apalagi aku terus memberitahu beliau kat kampung. Punyalah gembira Pak Leh bila dengar khabar tersebut.
Tetapi entah di mana silapnya, berita itu berlalu begitu saja tanpa ada perkembangan seperti mana yang diharapkan, mungkin ada masalah teknikal di mana-mana, yang di luar pengetahuan kami.
Aku dan Pak Leh
Aku sangat malu dengan Pak Leh, apatah lagi bila beliau selalu menelefon aku bertanyakan hal berkenaan. Akhirnya aku terpaksa berterus-terang perkara sebenar.
Aku tahu dia sangat kecewa dan sedih, tapi dia bagitahu yang dia faham. Maklumlah yang nak minta masuk ke program Jemputan Umrah tu ramai.
Sejak pada itu hubungan kami agak renggang, bukan sebab dia marah, tapi aku sendiri yang ‘segan’ dengan beliau, dan hubungan tersebut terus putus apabila nombor telefonnya sudah tiada dalam perkhidmatan.
Takdir menentukan. Pada 12 Julai 2012, Pak Leh menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam usia 63 tahun, kira-kira 6 tahun selepas pembebasan bersejarahnya dari Penjara Taiping akibat pelbagai komplikasi penyakit.
Semoga Allah mencucuri rahmat dan mengampunkan dosa-dosanya. Aku hilang kata-kata.
Baca lagi: Bagaimana Bekas Banduan Menukar Ketidakcekapan Penjara Menjadi Bisnes Bernilai RM12 Juta