Tidak kiralah sebagai mana teruk pun permulaan hidup kita, apa yang penting adalah bagaimana masing-masing mencorakkan hidup yang lebih baik di kemudian hari.
Kisah inspirasi banduan bernama Murad ini boleh dijadikan pedoman buat umum kerana berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) semasa di dalam penjara.
Jabatan Penjara Malaysia memaklumkan Murad (bukan nama sebenar) yang memiliki PhD dalam bidang Pentadbiran Perniagaan, telah menjalani hukuman sejak 2001 pada usia 14 tahun sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS) di Rawatan Pemulihan Dadah Penjara Kajang.
Malah, dia juga menjadi banduan pertama yang memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) semasa di dalam penjara dan kini diberi pengampunan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Keputeraan baginda pada hari semalam.
“Murad merupakan prospek pertama Jabatan Penjara yang bergelar Doktor Falsafah dalam bidang Pentadbiran Perniagaan, setelah menyambung pelajaran ketika menjalani hukuman di penjara,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook jabatan tersebut.
Waran pembebasan dibacakan Pengarah Penjara Kajang Preshahdin Monshee.
Semasa sesi pembebasan itu, Preshahdin turut menasihatkan Murad untuk sentiasa mengamalkan disiplin, serta menggunakan ilmu yang ada dalam memajukan diri dan pihak jabatan sedia membantu sekiranya Murad memerlukan bantuan.
Dipetik dari Astro Awani lagi, Murad, pada sesi berkenaan turut menzahirkan kesyukuran dan menjunjung kasih kepada Sultan Selangor di atas pengampunan baginda, serta Jabatan Penjara kerana memberikan peluang dan ruang kepadanya untuk menyambung pengajian sehinggalah bergelar Doktor Falsafah.
Murad berkata dia akan mengenang segala jasa baik pihak jabatan dan percaya dengan peranan jabatan dalam memulihkan prospek sepertinya, agar dikembalikan dengan lebih sempurna.