Pasukan dari perkampungan nelayan, Mjallby AIF melakar sejarah hebat apabila berjaya menjuarai saingan Liga Utama Sweden (Allsvenskan) 2025 selepas menang 2-0 ke atas Goteborg pada Ahad lalu.

Ia merupakan pertama kali dalam sejarah buat kelab tersebut berupaya mengungguli saingan liga paling berprestij di Sweden itu.

Mjallby mencipta sejarah tersebut dengan baki tiga perlawanan lagi apabila mereka kini mendahului pasukan di tangga kedua, Hammarby dengan kelebihan 11 mata.

Skuad kendalian Anders Torstensson itu merekodkan 20 kemenangan daripada 27 perlawanan liga dan hanya tewas sekali sepanjang musim ini.

Kejutan Besar Dilakarkan Mjallby AIF

Mjallby AIF merupakan sebuah pasukan yang berasal dari sebuah perkampungan nelayan kecil di selatan Sweden bernama Hallevik dimana kawasan itu hanya mempunyai kira-kira 1,500 penduduk.

Dengan kemenangan 2-0 ke atas Goteborg, kelab itu melakar kisah luar biasa buat pasukan ‘underdog’ yang sukar dipercayai dengan menjuarai divisyen utama Sweden buat kali pertama dalam sejarah.

Kejayaan penuh makna itu juga turut menjamin tempat Mjallby di pusingan kelayakan kedua Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim 2026-27  yang juga turut merupakan sejarah buat kali pertama dalam sejarah kelab.

Kisah Hebat Mjallby AIF, Dari Perkampungan Nelayan Ke Takhta Bola Sepak Sweden
Mjallby AIF’s captain Jesper Gustavsson leads the celebrations on winning the league after the Swedish football championship (Allsvenskan) football match between Mjallby AIF and IFK Gothenburg in Gothenburg, Sweden on October 20, 2025. (Photo by Bjorn LARSSON ROSVALL / various sources / AFP)

Kunci Di Sebalik Kejayaan

Menurut sumber laporan Goal, Torstensson perlu disebut sebagai individu yang memainkan peranan utama dalam kejayaan bersejarah kelab ini.

Jurulatih berusia 59 tahun itu dibantu oleh Karl Marius Aksum, seorang pakar taktikal yang memiliki PhD dalam bidang ‘visual perception in football’ (persepsi visual dalam bola sepak).

Kelab ini juga menjana pendapatan melalui penjualan beberapa pemain muda hasil akademi mereka dan menggunakan semula dana itu dengan cermat untuk membawa masuk pemain baharu berdasarkan pendekatan perekrutan berasaskan data.

Hasil daripada strategi itu, Mjallby AIF berjaya menandatangani penyerang Gambia, Abdoulie Manneh.

Satu lagi watak penting di bilik persalinan pasukan ialah penjaga gol berusia 23 tahun, Noel Tornqvist yang menikmati musim luar biasa bersama juara Sweden itu.

Mjallby hanya bolos 17 kali sepanjang musim dan sebahagian besar pujian harus diberikan kepada penjaga gol muda itu.

Prestasi cemerlang Tornqvist turut menarik perhatian pengurus Como, Cesc Fabregas,yang menandatanganinya pada musim panas lalu namun meminjamkannya semula kepada Mjallby sehingga tamat musim 2025.

Tornqvist bakal beraksi di Serie A Itali bermula Januari ini selepas musim Sweden berakhir.

Selain itu, beliau turut menerima panggilan pertama ke skuad kebangsaan Sweden selepas penjaga gol utama negara, Robin Olsen, mengumumkan persaraan antarabangsa.

Sumber