Nama Lamine Yamal kini menjadi sebutan seluruh dunia selepas muncul sebagai antara pemain muda terbaik bersama Sepanyol dan Barcelona.

Namun, di sebalik nama yang cukup unik itu, tersimpan kisah yang sangat menyentuh hati.

Menurut laporan The Athletic, Lamine Yamal adalah nama pertama yang diberikan ibu bapanya sebagai tanda penghargaan kepada dua individu yang pernah mengubah kehidupan mereka.

Sebelum Yamal dilahirkan pada 2007, ibu bapanya berdepan kesukaran kewangan sehingga sukar membayar sewa rumah.

Ketika itulah dua lelaki bernama Lamine dan Yamal tampil membantu keluarga mereka. Sebagai mengenang jasa kedua-dua insan tersebut, ibu bapanya menamakan anak mereka dengan gabungan dua nama itu.

Malah, identiti dua individu berkenaan tidak pernah didedahkan kepada umum.

Nama penuh bintang Sepanyol itu ialah Lamine Yamal Nasraoui Ebana. “Nasraoui” ialah nama keluarga bapanya yang berasal dari Maghribi, manakala “Ebana” pula merupakan nama keluarga ibunya yang berasal dari Equatorial Guinea.

Mengikut tradisi Sepanyol, pemain bola sepak mereka akan menggunakan salah satu atau kedua-dua nama keluarga ibu dan bapa pada nama mereka.

Tetapi Yamal memilih menggunakan nama pertamanya pada jersi sebagai penghormatan kepada dua individu yang pernah membantu keluarganya.

Hari ini, nama yang lahir daripada sebuah kisah penuh kesusahan dan kebaikan itu telah menjadi antara nama paling terkenal dalam dunia bola sepak.

Daripada keluarga yang pernah dibantu untuk meneruskan kehidupan, Lamine Yamal kini muncul sebagai bintang yang menginspirasikan jutaan peminat di seluruh dunia.