Adrien Jurad Chamrong sudah hampir 18 tahun bersara daripada kancah bola sepak profesional ekoran kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) dialaminya.

Namun, jaringan magis yang dihasilkannya pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2004 sentiasa terngiang-ngiang di minda para peminat bola sepak tempatan khususnya penyokong Perlis dan Kedah.

Baca Juga:

Lontaran jauh dilakukannya tanpa disangka-sangka terlepas daripada tangkapan penjaga gol Kedah, Megat Amir Faisal yang sekali gus menghadiahkan kejuaraan Piala Malaysia pertama skuad Singa Utara itu.

Pengakhiran sebuah penantian selama 83 tahun yang cukup menarik untuk diperkatakan kerana buat pertama kalinya jaringan kemenangan terhasil menerusi lontaran padu sedemikian rupa.

Dalam bola sepak moden kini terdapat pemain yang mampu melakukan lontaran sedemikian sebagai contoh pemain Indonesia, Pratama Arhan.

Tetapi, apa yang telah dijelmakan oleh Adrien Jurad tetap kekal dalam lipatan bola sepak tanah air.

Beberapa tahun lalu, wakil The Vocket sempat bertanyakan kepada anak kelahiran Alor Setar berketurunan Siam ini mengenai rutin dilakukan hingga mampu melakukan lontaran deras dan jauh tersebut.

Lebih menarik, kemampuan hebat itu hadir dengan tidak disengajakan.

Kebetulan Yang Jadi Aset Penting Buat Adrien Jurad

“Pertama kali saya lakukan latihan lontaran jauh ini adalah ketika sesi latihan bersama PKNK. Sebenarnya hanyalah sekadar suka-suka sahaja.”

“Tetapi selepas saya menyertai Perlis, kebetulan pada ketika itu kami ada Phillemon Chipeta memang mempunyai kualiti hebat dalam perebutan bola di udara. Akhirnya, ia jadi senjata atau strategi pasukan untuk mendapatkan jaringan.”

Hakikat itu jelas dapat dibuktikan apabila lontaran jauh Adrien Jured ditanduk masuk Chipeta untuk membuka tirai jaringan seawal minit keempat pada aksi final Piala Malaysia 2006.

“Selain mungkin semua ini hadir daripada kekuatan di bahagian perut dan bahu, ia juga merupakan kelebihan yang diberikan Tuhan kepada saya.”

“Lebih menarik dan boleh dikatakan kelakar juga, kesan daripada jaringan unik pada perlawanan akhir itu barulah penyokong mengetahui bahawa saya adalah pemain tempatan kerana sebelum itu mereka ingat saya ini pemain import dari Thailand,” tambah beliau lagi.