Yang sering kedengaran di kalangan traveller Malaysia pada masa kini adalah mahu lakukan trip Trans-Siberian. Hakikatnya laluan lain yang hampir sama juga tak kurang dari segi menariknya.
Minggu ini Vocket Travel ingin berkongsi pengalaman menarik anak muda Malaysia yang telah berjaya melakukan pengembaraan melalui Trans-Silk Route meliputi 4 negara yang menghidangkan budaya dan pengalaman berbeza.
Mari berkenalan lebih lanjut dan ikuti pengalaman menarik pemuda dengan nama Facebook Putera Sriwijaya ini.
Vocket: Boleh berikan sedikit info latar belakang Hanis seperti nama, umur, status perkahwinan, pendidikan dan kerjaya.
Hanis: Nama penuh saya Muhammad Hanis B Abdul Malik, berumur 30 tahun dan masih bujang. Nama di Facebook Putera Sriwijaya. Pendidikan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Aeronautik) dan kini menjalankan perniagaan sendiri.
Vocket: Sejak bila Hanis mula minat travel? Adakah kerana keluarga juga suka travel atau kerana faktor lain?
Hanis: Saya mula mengembara sejak tahun 2007 lagi pada usia 22 tahun. Sudah pastinya disebabkan faktor tambang murah AirAsia. Saya bukanlah berasal daripada keluarga yang rajin mengembara ke luar negara.
Vocket: Adakah travel adalah hobi Hanis? Masih ingat trip pertama ke mana?
Hanis: Sejak 2007 travel sudah menjadi satu hobi baru bagi saya, dan boleh dikatakan setiap tahun pasti saya akan ke luar negara.
Trip pertama saya pada tahun 2007 adalah ke Bandung bersama ibu bapa, kakak serta pak cik saya bersama isterinya. Sejak itu, saya mula berjinak-jinak membiasakan diri melihat dan mengkaji website AirAsia dan menempah tiket pada harga promosi walaupun tarikh percutian tersebut adalah setahun lebih awal.
Ketika itu saya belum mempunyai kerjaya tetap serta simpanan, oleh itu menempah percutian setahun yang mendatang mengajar saya cara-cara berjimat dan menyimpan wang.
Kadang-kala di waktu tempahan tiket saya langsung tiada simpanan namun saya optimis bahawa saya akan mempunyai simpanan yang cukup sebelum tarikh percutian tersebut.
Dan sejak 2007 juga saya mula belajar mengkaji banyak ilmu-ilmu pengembaraan terutamanya merancang perjalanan serta aktiviti-aktiviti yang perlu dilakukan di setiap tempat yang ingin dilawati. Yang paling penting, pengalaman ini memberikan saya keyakinan untuk terus mengembara.
The spirit of travelling – Astana, Kazakhstan
Studying few Russian words to deal with ticketing officer.
Vocket: Baru-baru ini Hanis telah travel ke 4 buah negara. Boleh kongsikan berapa bulan atau hari, route dari mana hingga ke mana dan jenis kenderaan yang digunakan, serta pergi berapa orang?
Hanis: Ya, tahun ini saya telah berkesempatan untuk mengembara ke 4 buah negara selama 44 hari. Bermula 25hb Ogos hingga 7hb Oktober 2015.
Negara-negara yang saya jelajahi adalah Russia, Kazakhstan, Kyrgzystan, dan China. Untuk lebih spesifik, tempat-tempat yang telah saya lawati adalah Moscow, Kazan, Orenburg, Astana, Almaty, Bishkek, Isyyk Kul, Osh, Urumqi dan Kunming.
Sepanjang perjalanan dari Moscow ke Kunming, saya memilih untuk menggunakan jalan darat sahaja iaitu dengan menggunakan perkhidmatan keretapi, bas dan juga minivan.
Overland trip to Central Asia. Everything about here is just black and white informations until I explore it. There are so many colorful experiences on my journey.
KEMBARASUTRA GOHED GOSTAN in 44 days. Started from Moscow, Russia to Kunming, China. Total distance traveled is around 11000km-12000km.
Kazakhstan train.
Posted by Putera Sriwijaya on Friday, November 6, 2015
Musa Jalil status. Musa Jalil was a Soviet Tatar poet and resistance fighter. He is the only poet of the Soviet Union who was simultaneously awarded the Hero of the Soviet Union award for his resistance fighting, and the Lenin Prize for authoring The Moabit Notebooks; both the awards were awarded to him posthumously.
Pada mulanya saya pergi bertiga bersama rakan-rakan saya Azlan Ithnin dan Shahrul Ikhwan, namun atas tuntutan kerja 2 orang rakan saya tersebut masing-masing hanya dapat bersama saya selama seminggu dan lagi seorang 2 minggu.
Setelah itu saya meneruskan pengembaraan secara solo. Untuk makluman, kami mulai mengembara bersama sejak beberapa tahun lepas lagi walaupun kumpulan kami ini sudah ditubuhkan sejak zaman belajar di UTM lagi.
Memandangkan kami sama-sama belajar dalam bidang Aeronautik, maka mungkin pembaca akan perasan kami memakai baju logo KBT iaitu Kuda Belang Terbang.
Allahurobbi. Kuasa Allah. Malam tadi satu keajaiban telah berlaku ke atas diri saya. Ketika sedang tidur saya telah diperjalankan ke Moscow, Russia.
Bangun-bangun pagi sedar-sedar dikelilingi ramai orang di Red Square. Adakah ini petanda jodoh ada di sini? Ya Allah, dapat seorang dulu gadis Russia jadilah. Cukuplah sekadar dahi licin, mata biru, blonde dan potongan badan 32-24-32. Hidup tidak boleh memilih sangat.
Andreevsky Bridge, Moscow.
With my travel buddy Azlan Ithnin – Astana, Kazakhstan
Vocket: Mengapa memilih untuk travel ke 4 buah negara ini dan apakah yang Hanis inginkan daripada pengembaraan ini?
Hanis: Saya pada mulanya memilih untuk merasai pengalaman Trans Mongolian iaitu trip keretapi dari Moscow, Russia, Mongolia dan Beijing, China.
Namun, pada akhirnya saya dan rakan-rakan bersetuju untuk mengubah laluan yang kurang popular berbanding Trans Mongolian iaitu Trans Silk Route. Trans Silk Route ini akan merentasi Kazakhstan sebelum memasuki China.
Untuk menambahkan lagi cabaran dalam pengembaraan ini, saya merancang untuk tidak menggunakan sepenuhnya keretapi bermula Moscow ke China, sebaliknya menggabungkan dengan pengangkutan bas.
Ini kerana melalui kiraan kasar, dengan cara penggabungan ini saya dapat menjimatkan lagi kos perjalanan. Dalam pengembaraan, keselesaan bukanlah perkara penting untuk saya sebaliknya pengalaman dan pembelajaran yang akan diperoleh itu yang lebih utama. Merancang kewangan adalah salah satu daripadanya.
Cholpon-Ata, Issyk Kul, Kyrgyzstan
Kyrgyzstan Toktogul Reservoir
Berpeluang melihat keindahan Charyn Canyon, Kazakhstan.
Suasana ruangan koc keretapi kelas kedua. Perjalanan dari Orenburg, Russia ke Astana, Kazakhstan.
Posted by Putera Sriwijaya on Saturday, October 31, 2015
Vocket: Boleh kongsikan jumlah kos keseluruhan untuk trip kali ini?
Hanis: Untuk trip selama 44 hari ini saya membelanjakan lebih kurang RM1300 sahaja untuk kos pengangkutan utama bermula dari Moscow, Russia hinggalah ke Kunming, China.
Untuk kos penginapan pula saya memilih untuk tidur di hostel dan purata harga adalah sekitar RM30 semalam. Total perbelanjaan kos penginapan dalam anggaran RM1100 sahaja.
Kos makan dan minum pula boleh dikatakan hampir sama sahaja seperti di Kuala Lumpur, oleh itu segalanya terpulang kepada individu bagaimana mereka mahu menetapkan bajet bagi kos ini. Saya seorang yang suka mencuba makanan tempatan, jadi kos makan dan minum bukanlah suatu isu kepada saya.
Sepanjang pengembaraan saya Moscow-China, alhamdulillah langsung tiada masalah mencari makanan dan restoran halal. Kadang-kadang orang terlalu takut untuk travel bila memikirkn apa nak makan.
Mudah sahaja nak ubah persepsi negatif ni. Setiap kali anda risau tentang makanan halal, ingatlah satu perkara. “Jangan ingat engkau seorang sahaja yang Islam. Negara lain pun ramai juga yang Islam.” Kalau travel tapi masih cari logo Halal Jakim elok cuti-cuti Malaysia sahaja.
Terkujat sekejap nampak jenama Halagel di sini. Ada juga produk Malaysia.
Daging kuda – Green Market, Almaty
Vocket: Bagaimana dengan tempat tinggal dan makanan di sepanjang tempoh travel? Hanis tinggal di mana (ie hotel / couchsuring) dan makanan pula bagaimana? Adakah sukar mendapatkan makanan halal? Jika ye, apakah alternative bagi Hanis?
Hanis: Sepanjang pengembaraan ini, saya hanya bermalam sama ada di hostel, ataupun tidur dalam perjalanan bas dan keretapi. Alhamdulillah, berkenaan isu makanan langsung tiada masalah sepanjang pengembaraan saya kali ini.
Saya berjumpa dengan banyak restoran dan café halal di setiap negara. Apa yang saya lakukan adalah, setiap kali saya tiba ke satu Bandar baru, tempat pertama yang akan saya cari selepas hostel adalah masjid.
Ini kerana, saya yakin jika ada masjid pasti akan ada restoran/café halal di sekitarnya, dan memang terbukti benar. Jika tiada sekalipun yang berdekatan, saya boleh bertanya kepada Jemaah masjid tersebut untuk mencari lokasi makanan halal.
Walaubagaimanapun, saya tiada masalah seandainya tidak berjaya menemui restoran halal. Saya hanya perlu mencari pasaraya dan membeli spaghetti, sos dan telur sudah cukup untuk mengenyangkan perut. Itulah makanan yang paling mudah sekiranya sukar mencari makanan halal yang lain.
Kazan kebab in Uzbek restaurant
Lagman. Delicious and must try food in Russia
Kuew teow daging kuda. Horse meat noodle (Narren) – Almaty, Kazakhstan
Vocket: Disepanjang pengembaraan, apakah perkara paling manis bagi Hanis?
Hanis: Saya perlu katakan perkara paling manis adalah berjaya melengkapkan laluan Trans Silk Route itu sendiri kerana sebelum memulakan pengembaraan ini terlalu banyak keraguan dan kerisauan tentang apakah kemungkinan-kemungkinan buruk yang bakal berlaku sepanjang perjalanan ini.
Namun, sebenarnya ada perkara yang lebih manis pada saya apabila mengembara iaitu apabila anda berjaya berinteraksi dan dan bersahabat dengan penduduk tempatan. Itulah pengalaman yang lebih bermakna dan diingati sepanjang hidup seandainya anda mampu travel sambil menjalinkan persahabatan.
Jika anda travel sekadar untuk mengambil gambar, maka anda akan pulang dengan koleksi gambar anda sahaja.
After 22 hours on train now we are here in Almaty, Kazakhstan
Kazakh eagle hunter – Almaty, Kazakhstan
Vocket: Bagaimana pula dari segi kesukaran dan cabaran? Apakah yang paling sukar yang Hanis lalui?
Hanis: Saya suka jadikan kesukaran itu sebagai satu cabaran, dan cabaran itu adalah sesuatu yang sememangnya saya sedia menghadapinya kerana apalah erti pengembaraan tanpa cabaran.
Oleh itu, bila mana saya berhadapan dengan kesukaran, apa yang saya lakukan adalah cuba bersikap tenang dan menghadapinya dengan sebaik mungkin.
Perkara yang paling saya kesalkan adalah kegagalan saya untuk memasuki ke Tajikistan. Ini kerana saya tidak berjaya mendapatkan visa untuk memasuki negara tersebut disebabkan penutupan pejabat kedutaan Tajikistan selama lebih 2 minggu sepanjang saya berada di Negara Kyrgzystan.
Saya merancang untuk memohon visa Tajikistan di Bishkek, Kyrgzystan namun disebabkan penutupan pejabat kedutaan tersebut saya terpaksa mengubah banyak rancangan asal pengembaraan kali ini. Namun, saya anggap setiap yang berlaku tersebut pasti ada hikmahnya.
Police car in Orenburg, Russia. But my friends called it “Borbik” which something sounds funny for them.
Pedestrian bridge between Europe and Asia. Located in Ural River, Orenburg, Russia
Salah seorang chef cafe di sebelah Masjid Khusainiya, Orenburg. Jika anda berpeluang ke sini usah khuatir tentang isu makan.
Vocket: Ada pernah lalui peristiwa lucu?
Hanis: Saya tiada mengalami peristiwa lucu, namun jika direnungkan sepanjang tempoh pengembaraan saya kali ini, ada perkara yang saya rasakan lucu untuk difikirkan.
Iaitulah bila mana ada bandar kecil yang saya tidak merancang untuk tinggal lebih daripada sehari tetapi berakhir dengan tinggal selama 4 hari disebabkan ketiadaan keretapi ke destinasi seterusnya.
Namun, selama 4 hari itulah memberikan saya banyak kenalan dan kenangan di bandar tersebut. Bandar kecil tersebut adalah Orenburg, Russia.
Di bandar ini terdapatnya sebuah jambatan penghubung tanah Asia dan Eropah. Di bandar ini jugalah terletaknya sekolah penerbangan angkasawan pertama dunia dari Russia iaitu Yuri Gagarin.
Dan di sini jugalah saya dan rakan, Azlan Ithnin berkawan dengan beberapa penduduk tempatan yang baik dan ramah. Mereka menawarkan diri untuk membawa saya dan Azlan Ithnin meronda-ronda sekitar Orenburg. Peluang menginap di Art Kraski Hostel, Orenburg juga merupakan satu pengalaman yang manis.
Orenburg bukanlah satu destinasi perlancongan bagi warga asing, malah nama itu sendiri pastinya tidak ramai yang pernah mendengarnya melainkan hanyalah sekadar tempat persinggahan sekiranya ingin menyeberangi ke Kazakhstan melalui bandar Aktobe.
Memandangkan begitu asingnya bandar ini, maka kehadiran saya dan Azlan di hostel tersebut disambut baik oleh pemiliknya iaitu Katerina Pavlova dan juga pekerjanya.
Menginap selama 4 hari di hostel tersebut yang ada ketikanya hanya ada kami sahaja di situ, menjadikan kami berasa selesa pula tinggal di Orenburg walaupun pada asalnya hanya bercadang menginap satu malam sahaja. Saya ingin mengesyorkan kepada sesiapa yang berpeluang untuk ke Orenburg untuk menginap di hostel ini.
Di Osh, Kyrgyzstan.
This is probably the most spectacular border crossing view I ever passed through, but the worst border control system so far. Stuck here more than 10 hours waiting for turn.
Day 11. After taking long train journey almost 26 hours, we finally arrived in our next destination. WELCOME TO ASTANA, KAZAKHSTAN.
Vocket: Bagaimana pula dari segi orang-orang yang Hanis temui di jalanan. Siapakah yang paling Hanis ingati dan kenapa?
Hanis: Saya berkenalan dengan ramai penduduk tempatan sepanjang pengembaraan kali ini dan mereka semuanya mesra dengan membawa saya berjalan melihat bandar mereka.
Namun, yang paling saya ingati adalah Konys dan anaknya Nur Kaldybay di Astana, Kazakhstan. Saya tidak berkesempatan berkenalan lama bersama mereka. Hanya beberapa jam sahaja iaitu ketika saya dan Azlan singgah ke Masjid Nur Astana untuk menunaikan solat Maghrib.
Malam itu adalah malam terakhir kami di Astana sebelum berangkat ke Almaty dengan menaiki keretapi. Konys menegur kami di masjid tersebut dan setelah mengetahui tujuan kami, beliau menawarkan diri untuk menghantar kami ke stesen keretapi.
Bukan sekadar menghantar kami, beliau juga membelikan kami makanan untuk bekalan di dalam keretapi dan yang paling mengejutkan beliau turut menghulurkan wang lebih kurang RM170 kepada kami.
Walaupun hanya sempat berkenalan singkat dengan beliau, tetapi layanan beliau dan anaknya seperti sudah lama mengenali kami. Ini membuatkan saya terfikir kenapa saya sendiri pun tidak mampu melayan pelancong asing di Malaysia sebaik mereka.
With Konys and his son. Thank you for helping us, may Allah SWT bless you and your family. Until we meet again.
Kedua, orang yang paling saya ingati adalah Isa. Beliau adalah rakyat Kyrgzystan yang menetap di Bishkek dan berumur 36 tahun. Saya bertemu beliau di sebuah masjid di Bishkek. Beliau menegur saya yang ketika itu sedang asyik mengambil gambar masjid tersebut.
Apa yang mengejutkan adalah beliau menegur saya dalam bahasa Melayu. Rupa-rupanya beliau pernah bekerja di Malaysia selama 5 tahun. Saya banyak kali bertemu beliau sepanjang saya berada di Bishkek dan dapat berkomunikasi dalam bahasa Melayu bersama penduduk tempatan adalah sesuatu yang agak unik.
Semasa ke Bishkek, Kyrgyzstan saya telah ditegur oleh abang Isa Isfandiiar Ahmad. Beliau mampu bertutur fasih dalam…
Posted by Putera Sriwijaya on Friday, November 6, 2015
Ketiganya, saya bertemu dengan ramai pengembara lain sepanjang perjalanan ini. Namun, yang paling saya rasakan unik kisah pengembaraannya adalah Yi Ying yang berasal dari Chengdu, China.
Saya dan Azlan bertemu beliau di Astana, Kazakhstan. Kami menginap di hostel yang sama. Menariknya, beliau mengembara dari Chengdu hingga ke Astana hanya dengan menggunakan roller blade sahaja yang mana jaraknya lebih kurang 4800km.
Dan dari Astana dia akan meneruskan perjalanannya ke Moscow dan St Petersburg. Terkini melalui akaun Instagram beliau saya dapati beliau sudahpun berada di Latvia untuk meneruskan perjalanannya ke Italy.
Daripada apa yang beliau ceritakan, dari Itali beliau akan terbang ke Chichago, Amerika untuk mengembara sehingga ke Los Angeles.
Pee Ying. Crazy boy from China. He just travelling by roller skating and has traveled almost 2800km so far just by skating from China to Astana. He is going to continue to Russia-Italy before flying to Chichago, US and skating to Los Angeles.
Yi Ying, crazy guy from Chengdu, China. Travel hanya dengan roller skate. Jumpa dia di Astana, Kazakhstan yang jaraknya lebih kurang 5000km dari Chendu. Sekarang gambar ni sudah berada di Poland
Vocket: Adakah travel kali ini adalah sebahagian daripada impian Hanis? Jika ye kenapa?
Hanis: Sebenarnya impian saya sejak bertahun-tahun sebelum ini hanyalah untuk ke Russia sahaja.
Jika dibandingkan, mungkin banyak lagi negara Eropah lain yang jauh lebih cantik daripada Russia tetapi yang menarik minat saya adalah untuk melihat dan merasai sendiri berada di sebuah negara yang sering menjadi pesaing kuasa besar kepada Amerika.
Bagi Kazakhstan dan Kyrgzystan sebelum ini tidak pernah terlintas untuk ke sana dalam masa terdekat seperti ini, malah saya langsung tidak pernah mengkaji tentang negara tersebut sehinggalah lebih kurang 2 bulan sebelum saya pergi.
Negara China pun begitu juga, bukanlah satu negara yang berada di senarai teratas untuk saya kunjungi. Walaubagaimanapun, negara-negara ini mempunyai tarikan mereka sendiri yang tidak ada pada negara-negara lain.
Antara yang uniknya, di Negara Asia Tengah inilah terkenalnya dengan hidangan daging dan susu kuda dan sebenarnya samosa yang kita ada pada hari ini berasal daripada Asia Tengah.
Bersama Musa, konduktor keretapi. Beliau berasal dari Astana, Kazakhstan dan sangat ramah. Beliau agak risau apabila kami menghadapi masalah di sempadan pemeriksaan immigresen Kazakhstan
Vocket: Bagaimana dengan persediaan Hanis untuk trip kali ini? Bagaimana Hanis kumpul duit dan berapa lama?
Hanis: Saya dan rakan-rakan telah membeli tiket sehala dari Kuala Lumpur ke Moscow, Russia sejak bulan Mei 2015 lagi.
Memandangkan kami tidak menetapkan tarikh tertentu untuk pulang ke Malaysia, jadi kami bercadang untuk membeli tiket pulang dari bandar terakhir yang mampu kami sampai dalam pengembaraan kali ini.
Memandangkan saya tidak pasti berapa sebenarnya jumlah perbelanjaan yang akan saya gunakan dalam pengembaraan kali ini, jadi saya mengambil masa lebih kurang 7 bulan juga untuk bekerja dan menyimpan wang yang secukupnya.
Namun, sebenarnya jumlah perbelanjaan yang saya gunakan jauh lebih rendah berbanding yang saya bayangkan. Ini dibantu dengan kejatuhan mendadak matawang Russia, Kazakhstan, Kyrgzystan dan China.
Vocket: Bagaimana pula penerimaan keluarga dengan keputusan Hanis untuk travel di route ni?
Hanis: Mereka telah sedia maklum dengan minat saya ini dan tidak menghalang niat saya kali ini memandangkan saya sudah biasa berdikari sejak kecil lagi.
Vocket: Hanis lebih suka travel solo atau secara berkumpulan?
Hanis: Jujurnya, saya lebih suka mengembara secara berkumpulan kecil tetapi saya yang akan merancang segala perjalanan dan aktiviti. Namun, saya juga tiada masalah untuk mengembara secara solo.
Vocket: Dari gambar-gambar yang dikongsikan di akaun FB Hanis, ada perancangan lain yang ingin dilakukan dengan gambar tersebut?
Hanis: Saya bercadang untuk kembali aktif dalam dunia blog setelah bertahun lamanya meninggalkan dunia tersebut. Mungkin kali ini saya akan tumpukan kepada catatan pengembaraan saya sahaja dan gambar-gambar di dalam FB tersebut mungkin lebih tersusun dan mudah dibaca sekiranya saya memasukkan di dalam blog.
Shymbulak cable car
Ini sewaktu dah sampai di China
Vocket: Ada pesanan atau tips yang ingin dikongsikan kepada pembaca Vocket yang ingin travel seperti yang telah Hanis lakukan ini?
Hanis: Ya. Saya ingin sarankan kepada pembaca sekalian untuk menjinakkan diri dalam dunia pengembaraan. Benarlah ibarat kata pepatah, “Jauh perjalanan, luas permandangan”.
Pemandangan pada saya bukanlah semata-mata apa yang kita lihat melalui mata kasar sahaja, tetapi apa yang dapat kita lihat dan rasai melalui mata hati kita juga.
Lain padang, lain belalang. Begitu jugalah setiap negara lain penduduk, lain budayanya, dan lain karakternya. Sebab itu pada pendapat saya, jika mengembara sekadar untuk mengambil gambar, anda akan pulang bersama gambar sahaja. Tetapi jika mengembara atas niat untuk belajar dan mengkaji, banyak perkara yang akan kita perolehi dan diingati sepanjang hayat.
Saya nak kongsi keadaan di Kazakhstan dan Kyrgyzstan. Dari segi adab menghormati orang tua, dia orang ada budaya kuat bagi orang tua tempat duduk dalam pengangkutan awam. Orang tua, OKU dan perempuan mengandung.
Memang berbeza dari Malaysia. Di sana walaupun baru je duduk tapi ada orang tua masuk, terus mereka bangun dan bagi laluan. Saya yang mula-mula pun terkejut smpai konduktor bus suruh bangun bagi orang tua duduk. Dah lama-lama terikut budaya/adab tu.
Vocket: Apakah perkara positif yang diperolehi daripada trip kali ini?
Hanis: Ada dua perkara yang membuka mata saya iaitu tentang isu keselamatan, dan isu makanan halal.
Sering kita disogokkan dengan mitos aspek keselamatan dan kesukaran mendapatkan makanan halal sebelum kita mengembara ke suatu tempat yang kurang popular.
Apa yang saya alami sendiri langsung tidak seperti digambarkan, malah sangat selesa dan selamat sepanjang pengembaraan saya ini.
Contohnya sebelum ke Russia saya dimaklumkan agar tidak keluar pada waktu malam kerana adanya mafia-mafia yang berkeliaran, tetapi hampir setiap malam saya keluar tanpa rasa sebarang ancaman. Malah sehingga hampir terlupa terhadap pesanan waspada sebelum itu.
Begitu juga dengan isu makanan halal seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini. Jadi apa yang dapat saya rumuskan, untuk mengatasi mitos ini saya cuba setkan pemikiran di mana, jika saya menganggap negara lain tidak selamat, jangan lupa orang luar juga menganggap Malaysia tidak selamat, namun kita masih bebas keluar tanpa masalah.
Begitu jugalah halnya dengan negara lain, kenapa perlu kita katakan di sana tidak selamat sedangkan mereka juga bebas menjalani aktiviti harian.
Apapun bukanlah bermakna kita boleh mengabaikan langsung aspek keselamatan, kerana dimana-mana sahaja pasti ada segelintir individu jahat. Mereka ini yang bertanggungjawab memberikan persepsi buruk orang luar terhadap negara mereka.
Kita biasanya berpendapat bahawa peningkatan kes-kes jenayah adalah disebabkan faktor kemiskinan dan kesempitan hidup dan cara untuk mengatasi kes jenayah ini hanyalah melalui penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat.
Apa yang dapat saya lihat, di Kyrgzystan contohnya, bukanlah satu negara yang kaya dimana sumber utamanya lebih kepada hasil bumi emas sahaja. Namun, di sana kanak-kanak sekolah bebas berjalan sendirian di lorong-lorong kecil menandakan keadaan di sana masih selamat.
Melalui pemerhatian saya, ini adalah disebabkan di Kyrgzystan masih lagi ada budaya menegur dan memberi salam sesama masyarakat yang mereka temui walaupun tidak mengenali satu sama lain.
Selain itu, mereka juga masih ada budaya menegur apa yang salah dan tidak takut dicop sebagai “Menjaga kain orang lain”. Maka, adab dan budaya inilah yang membantu mengekalkan keharmonian di sana.
Sebaliknya, apabila saya memasuki China, konsep menjaga keselamatan rakyat adalah melalui penguasaan undang-undang yang ketat yang mana kita di Malaysia juga selalu tekankan.
Walaupun selamat di tempat-tempat yang saya kunjungi di China, tetapi keharmonian itu dirasakan tiada. Manakan tidak, di mana-mana sahaja saya pergi pasti ada polis dan tentera yang berkawal sehinggakan di Urumqi, setiap hentian bas pasti ada pondok kecil polis.
Ini membuatkan perjalanan saya dirasakan seperti dikawal setiap masa. Bukan itu sahaja, setiap stesen bas, keretapi dan bangunan-bangunan besar pasti ada mesin pengimbas badan dan barang ibarat seperti di lapangan terbang pula.
Kesimpulan yang saya dapat, kita kena kembali kepada mewujudkan keharmonian bermasyarakat di Malaysia dahulu, maka isu-isu keselamatan dapat diwujudkan semula seperti di zaman kita kecil dahulu.
Mengenai isu makanan pula, saya setkan pemikiran bahawa dimana-mana sahaja di dunia ini pasti ada umat Islam, maka insyaAllah jika kita selama ini menjaga bab makanan halal, pasti mudah untuk kita mendapatkannya.
Bayterek is a monument and observation tower in Astana,Kazakhstan. A tourist attraction popular with foreign visitors and native Kazakhs alike, it is emblematic of the city, which became capital of the country in 1997.
Astana Khan Shatyr Entertainment Center, Kazakhstan.
At Astana, Kazakhstan
Mengikut kepercayaan masyarakat tempatan, lubang gua ini mampu menyembuhkan kesuburan dan penglihatan mata – Kyrgyzstan.
Salam tulus mulus dari Kyrgyzstan. Selamat hari rayap. Korban harta, masa dan tenaga di Lembah Fergana.
Kadang2 bila sudah tahu perbualan kita ibarat ayam dan itik, kenapa harus kita berbahasa Inggeris lagi? haha…
Posted by Putera Sriwijaya on Wednesday, November 4, 2015
Vocket: Ada info tambahan lain yang ingin dikongsikan?
Hanis: Saya dapati mengembara melalui jalan darat ini adalah satu pengalaman yang menarik dan ada keistimewaannya yang tersendiri.
Cabarannya terletak kepada bagaimana anda ingin merancang perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain, dan menyesuaikan jadual perjalanan anda dengan trip pengangkutan awam yang disediakan dimana sesetengahnya bukan ada pada setiap hari.
Begitu juga cabaran bagaimana anda ingin membeli tiket di kaunter yang mana penjual tersebut berkomunikasi dalam bahasa tempatan. Anda harus pantas berfikir bagaimana untuk menyelesaikan segala masalah tersebut kerana masa amat penting apabila anda mengembara.
Namun, di akhir pengembaraan anda akan tersenyum puas kerana berjaya mengatasi segala cabaran tersebut.
Baca : Travel Solo Trans-Siberian, Gadis Ini Berkongsi Tip Melawat Tasik Terdalam Di Dunia
Baca lagi: Pengalaman Di Kiev Sewaktu Tragedi MH17 Mendorong Lelaki Ini Travel Via Trans-Siberian