Dunia automotif dikejutkan dengan pengakuan jujur daripada Presiden Honda, Toshihiro Mibe, baru-baru ini.
Selepas melawat sebuah kilang pembekal di Shanghai, beliau memberikan gambaran yang cukup membimbangkan tentang masa depan syarikat gergasi Jepun itu berhadapan dengan pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China.
“Kita tidak mempunyai peluang untuk melawan ini,” kata Mibe dengan nada terus terang, merujuk kepada kepantasan dan kecekapan teknologi pengeluaran di China lapor Motor1.com.
Krisis Identiti dan Kejatuhan Jualan

Situasi Honda ketika ini boleh dianggap kritikal, terutamanya di pasaran China yang merupakan pasaran kereta terbesar dunia.
Jika pada tahun 2020 Honda berjaya menjual 1.62juta kenderaan di sana, angka tersebut dijangka merudum kepada hanya 640,000 unit tahun ini. Kilang-kilang Honda kini beroperasi pada separuh kapasiti, sekali gus menyebabkan kerugian berbilion ringgit.
Kegagalan ini bukan sahaja memberi kesan kepada imbangan kewangan, malah para eksekutif Honda dilaporkan sanggup memotong gaji mereka sendiri sebagai tanda bertanggungjawab atas prestasi buruk syarikat dalam segmen EV.
Kepantasan China vs Birokrasi Jepun
Masalah utama yang dihadapi Honda adalah jurang kepantasan. Laporan mendedahkan bahawa Honda memerlukan masa dua kali ganda lebih lama untuk mereka bentuk model baharu berbanding pesaing dari China.
Di China, Mibe menyaksikan sendiri lantai pengeluaran yang hampir sepenuhnya automatik tanpa tenaga manusia, menghasilkan produk yang bukan sahaja murah dan pantas, malah berkualiti tinggi.
Pihak pengurusan Honda mengakui, “Honda gagal memberikan produk yang menawarkan nilai untuk wang (value for money) yang lebih baik daripada pengeluar EV baharu.
Kembali Kepada Akar Umbi: Strategi R&D Bebas
Bagi mengatasi krisis ini, Honda memutuskan untuk melakukan anjakan paradigma dengan kembali kepada “asas” mereka. Toshihiro Mibe kini mengarahkan agar unit Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Honda dipisahkan semula menjadi entiti bebas, setelah digabungkan dengan syarikat induk pada 2020.
Langkah penubuhan semula unit Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) sebagai entiti bebas ini bertujuan untuk mempercepatkan proses inovasi dengan mengurangkan kerenah birokrasi korporat yang selama ini mengekang kreativiti para jurutera.
Melalui kebebasan ini, Honda berhasrat untuk mengembalikan kecemerlangan kejuruteraan mereka, sekali gus mengimbau semula zaman kegemilangan syarikat ketika berjaya memperkenalkan teknologi revolusioner seperti enjin CVCC dan sistem VTEC.
Selain itu, strategi ini merupakan kunci utama kepada kemandirian syarikat dalam pasaran global, di mana Honda perlu membangunkan kemahiran dan kepantasan pembangunan produk yang lebih kompetitif demi bersaing secara langsung dengan pengeluar gergasi baharu seperti BYD dan Xiaomi.
Langkah Honda membatalkan projek EV bersama Sony dan tiga model EV untuk pasaran Amerika Syarikat menunjukkan betapa drastiknya perubahan strategi yang sedang berlaku.
Bagi peminat jenama “H” ini, harapan kini terletak pada kemampuan jurutera mereka untuk kembali kepada semangat asal membina kenderaan yang bukan sekadar pengangkutan, tetapi sebuah keajaiban kejuruteraan yang mampu menandingi kepantasan zaman elektrik.