Polis Kuala Lumpur merancang untuk menjadikan rangkaian kedai serbaneka KK Mart sebagai lokasi perlindungan kecemasan atau Go-To-Safety-Point (GTSP) menerusi kerjasama strategik bagi memperkasakan pemantauan dan pencegahan jenayah di ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kira-kira 700 cawangan KK Mart di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor berpotensi menjadi zon selamat untuk orang awam mendapatkan bantuan kecemasan.

Ini berikutan pengoperasian premis secara 24 jam, persekitaran yang terang, serta sokongan sistem kamera litar tertutup (CCTV) berpusat, petik Berita Harian.

“Kita melihat KK Mart boleh dijadikan safety point (tempat selamat) kepada masyarakat di sekitarnya. Pada masa sama, kita akan tingkatkan kerjasama dari segi rondaan dan pemantauan supaya premis ini menjadi tempat yang selamat untuk orang awam,” katanya.

Beliau menambah, pihak polis turut mengkaji kemungkinan untuk mendapatkan akses terus kepada sistem CCTV berpusat rangkaian berkenaan bagi memperkukuh pemantauan keselamatan kawasan sekeliling.

Inisiatif Titik Keselamatan dan Perluasan Premis

Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), GTSP merupakan inisiatif yang membolehkan premis rakan strategik dijadikan tempat perlindungan serta punca bantuan pantas apabila awam berdepan ancaman keselamatan atau jenayah.

Dalam pada itu, cawangan KK Mart yang dibuka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur merupakan cawangan pertama di dalam bangunan PDRM, dengan perancangan memperluaskan model ini ke fasiliti kepolisian lain.

Mengulas operasi premis di dalam IPK, Fadil menegaskan bahawa penjualan barangan tertakluk sepenuhnya kepada peraturan premis kerajaan dan barangan terlarang tidak mempunyai kebenaran untuk dijual.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan, menyambut baik cadangan GTSP tersebut serta menyatakan kesediaan syarikat untuk berkongsi rakaman CCTV bagi membantu siasatan PDRM.

Beliau turut menyasar potensi perluasan premis di bangunan kerajaan berpandukan rangkaian 1,100 cawangan KK Mart sedia ada di seluruh negara.

Sumber