Foodie Media Bhd, yang mengendalikan jenama media sosial KL Foodie, telah menandatangani perjanjian penaja jamin dengan Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) bagi penyenaraiannya di Pasaran ACE.

Di bawah perjanjian itu, Maybank IB akan menaja jamin saham tawaran awam permulaan (IPO) yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia serta individu yang layak di bawah permohonan borang merah jambu.

Baca Juga:

Tarikh sasaran bagi penyenaraian IPO tersebut belum didedahkan, petik The Edge Malaysia.

“Penyenaraian IPO ini akan membolehkan kami memperoleh sumber yang diperlukan untuk memperkukuh infrastruktur teknologi dan meningkatkan keupayaan pengeluaran kami.

“Ketika kami terus berkembang, fokus utama kami kekal untuk berinteraksi dengan khalayak dan perniagaan di seluruh rantau ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Foodie Media, Nicholas Lim Pinn Yang.

Foodie Media terlibat terutamanya dalam penerbitan media digital, pemasaran key opinion leader (KOL), pemasaran drama pendek, perdagangan afiliasi dan perkhidmatan pengurusan kempen.

Termasuk KL Foodie, syarikat itu kini mempunyai 34 jenama di lima negara — iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Cadangan IPO tersebut akan menyaksikan kumpulan itu mengumpul modal melalui terbitan saham baharu yang mewakili 15.54% daripada pegangan diperbesar syarikat, bagi tujuan pengembangan tenaga kerja, penubuhan bilik live streaming baharu serta pembelian peralatan tambahan.

IPO itu juga merangkumi tawaran jualan sebanyak 12.61% oleh pemegang saham sedia ada, termasuk Pinn Yang; pengarah eksekutif bukan bebas dan ketua pegawai kandungan, Edward Lim Pinn Jian; pengarah eksekutif bukan bebas dan ketua pegawai operasi, Ang Rui Mei; serta Bryan Loo Woi Lip, Loo Chuu Lin, Loo Chee Leng dan LV Holdings Sdn Bhd (dahulunya dikenali sebagai Loob Ventures Sdn Bhd).

Secara keseluruhan, pelaksanaan IPO ini akan menawarkan pelabur sehingga 28.15% pegangan dalam syarikat selepas penyenaraian.

Pinn Yang dan Pinn Jian merupakan adik-beradik, manakala Ang ialah isteri Pinn Yang. Ketiga-tiga mereka menubuhkan kumpulan itu pada tahun 2016. Sementara itu, Chuu Lin ialah bapa kepada Woi Lip dan Chee Leng.

Selepas penyenaraian, Pinn Yang akan mengekalkan pegangan sebanyak 21.81%, Ang (15.07%), Pinn Jian (14.28%), Woi Lip (8.42%), Chuu Lin (4.9%) dan Chee Leng (6.25%).

LV Holdings milik Woi Lip dan Chuu Lin, yang juga merupakan syarikat di sebalik jenama minuman Tealive akan keluar sepenuhnya selepas menjual keseluruhan pegangan 1.12% mereka.

Selain bertindak sebagai penaja jamin tunggal bagi penyenaraian ini, Maybank IB juga berperanan sebagai penasihat utama, penaja dan ejen penempatan tunggal.