Mercedes-Benz Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai pusat perkhidmatan automotif khusus di rantau ini menerusi pelaburan sebanyak RM2.2 juta bagi menubuhkan Hab Perkhidmatan Mercedes-AMG ONE pertama dan tunggal di Asia Tenggara, yang beroperasi di Hap Seng Star Bukit Tinggi, Klang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Cars Malaysia, Martin Schulz berkata, pelaburan strategik tersebut mencerminkan keyakinan tinggi syarikat terhadap kemahiran teknikal tempatan serta kedudukan geografi Malaysia yang amat strategik, petik Malay Mail.

“Malaysia sememangnya berfungsi sebagai hab strategik untuk Mercedes-Benz. Penubuhan Hab Perkhidmatan Mercedes-AMG ONE yang pertama dan satu-satunya di Asia Tenggara ini memberi dimensi baharu kepada peranan berkenaan.

“Langkah ini mengukuhkan keyakinan kami terhadap bakat dan keupayaan negara, di samping memantapkan komitmen kami kepada pemilik jentera ini di seluruh rantau Asia-Pasifik,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Rantau Mercedes-Benz Cars Asia Tenggara menambah bahawa jentera berkenaan memerlukan ekosistem penyelenggaraan yang sangat khusus sejajar dengan prestasinya.

“Mercedes-AMG ONE merupakan manifestasi tertinggi teknologi Formula Satu yang dibawakan ke jalan raya. Kejuruteraan luar biasa sedemikian menuntut ekosistem perkhidmatan yang sama khusus,” ujar beliau ketika sesi soal jawab selepas majlis pelancaran rasmi fasiliti berkenaan di Hap Seng Star Bukit Tinggi, Klang.

Menurut Schulz, fasiliti di Malaysia ini merupakan sebahagian daripada rangkaian antarabangsa eksklusif yang hanya wujud di Jerman, Switzerland, Dubai, Abu Dhabi, Kuwait, dan Jepun.

Kemudahan logistik dan ketersambungan pengangkutan di Malaysia membolehkan pusat ini memberikan perkhidmatan menyeluruh kepada pemilik model hypercar berkenaan di seluruh rantau ini.

Sementara itu, Naib Presiden Perkhidmatan Pelanggan dan Pembangunan Rangkaian Mercedes-Benz Malaysia serta Asia Tenggara, Edmin Naidoo menjelaskan bahawa pusat tersebut dibina khas bagi memenuhi keperluan kejuruteraan dan penyelenggaraan rumit jentera berkenaan.

“Dilengkapi dengan infrastruktur teknikal gred kilang dari Affalterbach, pusat ini menampilkan peralatan voltan tinggi khusus, sistem diagnosis terubah suai, kondisi penyimpanan terkawal, serta rangkaian perhubungan teknikal terus bersama pakar Mercedes-AMG di Jerman.

“Bagi mengendalikan keperluan kejuruteraan unik jentera ini, bengkel tersebut dilengkapi sistem lif penunda tingkat (hoist system) canggih yang tertanam dua meter di bawah tanah dan direka khas untuk menyokong berat sehingga 1.6 tan. Di samping itu, ruang bengkelnya direka kalis bunyi sepenuhnya bagi menampung bunyi enjin sehingga mencapai 120 desibel,” jelas Edmin.

Segala kelengkapan khusus dan sistem diagnostik di fasiliti tersebut diwujudkan bagi memastikan setiap kerja perkhidmatan mematuhi piawaian teknikal ketat yang ditetapkan oleh Mercedes-AMG.

Mengulas mengenai tenaga kerja, Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Automotif Hap Seng Consolidated, Lee Weng Yew mengesahkan bahawa barisan juruteknik tempatan telah menjalani latihan intensif yang diiktiraf secara terus oleh pihak Mercedes-AMG.

“Mereka juga disokong oleh pasukan khas ‘Flying Doctors’ yang memberikan laporan diagnostik dan bantuan teknikal secara masa nyata (real-time) bagi memastikan penyelenggaraan komprehensif dapat diberikan kepada pemilik di seluruh Asia Tenggara,” katanya.

Difahamkan hanya ada 9 hab servis Mercedes-AMG ONE di seluruh dunia. Pada masa sama, hab servis terbaharu ini miliki pasukan 6 orang ‘Flying Doctors’, pakar teknikal khas diiktiraf Mercedes-Benz dan Mercedes-AMG bagi menyokong penyelenggaraan dan diagnostik masa nyata hypercar Mercedes-AMG ONE — salah seorangnya adalah orang Malaysia sendiri.

Sumber