Bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan format baharu saingan Piala Dunia Kelab FIFA sebagai kegagalan badan induk bola sepak dunia itu dalam melindungi kesihatan para pemain.

Meskipun kejohanan dengan format baharu itu menawarkan wang tunai lumayan kepada setiap kelab bersaing yang mara dengan lebih jauh, Klopp lebih melihat daripada perspektif lebih serius.

Baca Juga:

Selepas berakhirnya saingan liga domestik, pasukan perlu menghadapi aksi di Amerika Syarikat yang nyata memberikan kesan besar terhadap keadaan pemain.

Klopp
Kredit Foto: Peter Zay / Anadolu via AFP

Sebagai contoh, sekiranya Chelsea atau Manchester City mara ke pentas final, wakil England tersebut hanya mempunyai sebulan untuk mengharungi musim baharu.

Pendapat Klopp Terhadap Format Baharu Piala Dunia Kelab FIFA

“Julian Nagelsmann (pengurus Jerman) telah menyentuh beberapa topik dalam salah satu sidang media terbarunya, dengan mengatakan bahawa kita perlu membangunkan aspek tertentu dengan lebih spesifik.”

“Beliau merujuk kepada posisi bek sisi dan pemain sayap. Akhirnya, yang paling penting adalah permainan itu sendiri dan bukannya perkara-perkara di sekelilingnya dan sebab itulah Piala Dunia Kelab merupakan idea paling teruk yang pernah dilaksanakan dalam bola sepak dari segi ini.”

“Orang yang tidak pernah terlibat secara langsung dalam operasi harian atau yang sudah tidak lagi terlibat, muncul dengan idea seperti ini,” ujar Klopp menurut sumber laporan Goal.

Klopp
Kredit Foto: JUAN MABROMATA / AFP

“Saya faham mereka yang berkata: ‘Tapi jumlah wang yang diterima untuk penyertaan memang luar biasa.’ Tapi ia bukan untuk setiap kelab.”

“Tahun lepas ada Copa dan Kejohanan Eropah, tahun ini pula Piala Dunia Kelab dan tahun depan Piala Dunia. Ini bermakna tiada masa pemulihan sebenar buat para pemain yang terlibat, baik dari segi fizikal mahupun mental.”

“Sudah tentu mereka semua memperoleh pendapatan yang besar. Tapi mari kita ketepikan soal itu seketika. Pemain NBA yang juga mendapat bayaran tinggi pun dapat cuti selama empat bulan setiap tahun.”

“Virgil van Dijk pun tak pernah dapat sebanyak itu sepanjang kariernya. Kejohanan seperti Piala Dunia Kelab tidak sepatutnya dilangsungkan dengan mengorbankan para pemain. Saya tak doakan perkara buruk pada sesiapa, tapi saya memang risau.”

“Saya risau para pemain akan alami kecederaan yang mereka tak pernah hadapi sebelum ini pada musim depan. Kalau bukan musim depan, ia akan berlaku di Piala Dunia atau selepas itu.”

“Kita sentiasa mengharapkan mereka bermain setiap perlawanan seolah-olah itu perlawanan terakhir mereka. Kita ulang perkara itu 70 atau 75 kali setahun.”

“Tapi ia tak boleh berterusan begini. Kita perlu pastikan mereka ada masa rehat, kerana jika mereka tak dapat rehat, mereka takkan mampu beraksi pada tahap terbaik dalam jangka masa panjang.”

“Dan bila itu berlaku, keseluruhan ‘produk’ akan hilang nilainya bagi pihak yang menjual. Saya pernah alami pramusim hanya dua setengah minggu, di mana semua pemain saya ada.”

“Dua setengah minggu  dan selepas itu kami bermain hampir setiap tiga hari selama setahun. Itu memang kejam,” tambah Klopp lagi.

Sumber