Agensi perhubungan awam, ShekhinahPR, bersama perunding pemasaran dan pengurusan bola sepak, ProEvents, menyumbangkan barangan dan peralatan bola sepak yang digunakan Manchester United pada perlawanan menentang ASEAN All-Stars kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Lemoi.

ShekhinahPR menghadiahkan 15 pasang kasut but bola sepak baharu kepada murid-murid sekolah berkenaan sebagai sokongan kepada pembangunan sukan bola sepak dalam komuniti Orang Asli.

Baca Juga:

SK Lemoi, sebuah sekolah luar bandar yang menempatkan anak Orang Asli di Cameron Highlands, Pahang mempunyai pasukan bola sepak, dikenali sebagai The Botaks dan majlis penyerahan sumbangan disempurnakan pada acara makan malam ringkas tetapi penuh makna di sebuah restoran di ibu negara.

Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Christopher Raj berkata sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk memupuk minat sukan dalam kalangan anak-anak dari kawasan pedalaman.

Asean All Stars
Shekinah

“Kami percaya sukan mampu menjadi pemangkin perubahan dalam kehidupan. Melalui sumbangan ini, kami berharap ia dapat memberi inspirasi dan motivasi kepada anak-anak Orang Asli untuk terus aktif dan bersemangat dalam bidang sukan, khususnya bola sepak.

“Melihat wajah gembira mereka menerima but bola sepak dan barangan yang pernah digunakan Manchester United menentang ASEAN All Stars, ia benar-benar menyentuh hati kami.

“Ini bukan sekadar sumbangan, kami mahu mereka rasa dihargai dan menjadi sebahagian daripada komuniti bola sepak global,” katanya.

Christopher turut menyatakan komitmen pihaknya untuk terus menyokong inisiatif pembangunan akar umbi, terutama dalam komuniti pedalaman.

“ShekhinahPR sememangnya sentiasa menyokong SK Lemoi menerusi sumbangan kelengkapan sukan dan jersi secara berterusan sebelum ini dengan yang terakhir disumbang ialah pada Mac lalu,” tambahnya.