Hasrat untuk melihat wakil Malaysia beraksi di perlawanan akhir Kejohanan Badminton Korea Masters 2023 tidak kesampaian selepas Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie tewas kepada lawan masing-masing, sebentar tadi.
Lawan yang dihadapi Tang Jie-Ee Wei nyata bukanlah calang-calang pasangan apabila mereka tunduk kepada juara dunia dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung dalam aksi ‘straight set’.
Baca Juga:
- Korea Masters 2023: Dua Beregu Campuran Negara Ke Separuh Akhir
- Hadir Ke Sukan Asia Di China, Penonton Badminton Bersorak Lihat Lee Chong Wei
- Sukan SEA 2023: Kemboja ‘Scam’, Dituduh Guna Pemain China Untuk Menang Dalam Acara Badminton
Berdepan lawan yang turut berada di ranking lebih baik (keempat) jelas memberikan sedikit kesukaran buat Tang Jie-Ee Wei terutamanya pada set pertama dimana mereka tewas 14-21.
Mereka cuba bangkit melawan pada lewat set kedua tetapi masih belum mampu untuk menghalang kemaraan Seung Jae-Yu Jung ke pentas final dengan mata 17-21.
Nasib sama dihadapi Soon Huat-Shevon yang terpaksa menelan kepahitan tewas di tangan pasangan dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.
Aksi sengit ditampilkan pada set pertama yang menyaksikan kedua-dua pasangan terikat 18-18 pada lewat aksi. Namun, gandingan nombor enam dunia itu lebih tenang menyerap tekanan untuk menang 21-19.
Kemenangan itu jelas meningkatkan lagi moral Zhen Bang dan Ya Xin untuk mereka mengesahkan kemenangan 21-15 bagi melangkah ke final untuk berdepan Seung Jae-Yu Jung.
Berakhirnya perjalanan skuad negara di peringkat separuh akhir Korea Masters, tumpuan kini beralih ke Kumamoto Masters Jepun (Super 500) yang akan bermula Selasa depan.