Kerajaan Korea Selatan secara rasmi memberi isyarat untuk merombak sistem pengecualian khidmat ketenteraan yang telah lama diberikan kepada atlet berprestasi tinggi.
Langkah itu dibuat susulan bantahan hebat daripada orang ramai selepas Sukan Asia 2026 apabila sambutan skuad bola sepak kebangsaan mencetuskan perdebatan di seluruh negara mengenai soal keadilan.
Kerajaan Korea Selatan Mahu Buat Perubahan
Menurut sumber laporan Goal, Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan, Choi Hwi-young membincangkan isu tersebut secara langsung dalam satu pendengaran jawatankuasa Perhimpunan Kebangsaan baru-baru ini dengan memberi bayangan bahawa era pengecualian secara meluas mungkin bakal berakhir.
Choi berkata sistem tersebut telah wujud selama lebih lima dekad, namun landskap budaya negara itu telah berubah dengan ketara.
Beliau memberitahu jawatankuasa bahawa sistem berkenaan ‘sememangnya perlu dikurangkan’, sekali gus berpotensi menjadi titik perubahan bagi pemain bola sepak profesional yang berharap dapat mengelakkan gangguan panjang terhadap karier mereka.
“Benar bahawa sistem ini telah membantu artis dan atlet berprestasi tinggi untuk mengekalkan serta mengembangkan kemampuan mereka,” ujar Choi.
“Namun, nilai yang berkaitan dengan keadilan dan pandangan masyarakat terhadap khidmat ketenteraan telah berubah. Saya bersetuju bahawa sistem ini perlu dikaji semula secara menyeluruh.”
Pencetus kepada perubahan pendirian kerajaan secara tiba-tiba itu ialah sambutan kontroversi yang dilakukan sendiri oleh skuad tersebut.
Selepas menewaskan Jepun pada aksi final, tiga pemain menerima kritikan hebat kerana meraikan kejayaan mendapatkan pengecualian khidmat ketenteraan, termasuk kapten Korea, Lee Gi-hyuk.
Lee dirakam sambil memegang pingat emas dan dengan lantang menyatakan bahawa beliau ‘tidak akan menyertai tentera’.
Rakaman tersebut tular dan mengundang kecaman hebat daripada masyarakat yang sering menganggap khidmat ketenteraan sebagai satu tanggungjawab penting kepada negara serta pengorbanan yang perlu dikongsi oleh semua golongan lelaki muda di Korea Selatan.
Lee kemudiannya memohon maaf atas tindakannya, namun reputasi dasar pengecualian tersebut dilihat sudah terjejas.
Menteri Choi tidak berselindung ketika mengulas mengenai tindakan pemain berkenaan dengan menyifatkan kenyataannya sebagai ‘sangat tidak matang’.
Insiden tersebut kini menjadi tumpuan bagi pihak yang berpendapat atlet berprestasi tinggi diberikan kelonggaran yang tidak sepatutnya berbanding masyarakat umum.