Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang telah menyerbu sebuah rumah kediaman di Jalan Gambang di sini, yang disyaki dijadikan lokasi penyimpanan serta pengedaran barangan mainan tiruan jenama terkenal, Hot Wheels.

Menerusi hantaran media sosial KPDN Pahang, serbuan bersepadu tersebut dijalankan oleh sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Pahang bersama wakil sah pemilik cap dagangan jenama berkenaan, susulan aduan rasmi berhubung aktiviti penjualan barangan yang disyaki melanggar Akta Cap Dagangan 2019.

Hasil pemeriksaan rapi di premis terbabit membawa kepada penemuan sejumlah barangan mainan yang disyaki menggunakan cap dagangan Hot Wheels palsu tanpa kebenaran pihak pemilik hak cipta.

Kesemua barangan berkenaan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut. Pemilik premis yang berada di lokasi kejadian semasa operasi berlangsung turut ditahan keterangan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu kesalahan memiliki bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan secara salah.

KPDN Pahang menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras penjualan barangan tiruan, demi melindungi hak harta intelek pemilik cap dagangan sah serta memelihara hak dan keselamatan para pengguna daripada terus terpedaya.