Isu bilik sewa bersaiz seperti ‘liang lahad’ atau ‘sarang burung’ masih lagi buntu dan tidak menemukan jalan penyelesaiannya walaupun sudah banyak kali disuarakan oleh warganet.

Baru-baru ini Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi amaran kepada pemilik rumah atau premis yang melakukan ubah suai melampau dengan menambah ruang untuk dijadikan bilik sewa sempit.

Baca Juga:

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, KPKT dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan akan secara aktif memantau keadaan itu serta tidak akan teragak-agak mengambil tindakan perundangan terhadap mereka yang melanggar peruntukan akta berhubungnya, petik Buletin TV3.

Sumber Gambar: Buletin TV3

“KPKT mengambil pendirian tegas dan memberi amaran kepada semua pemilik rumah yang melakukan ubahsuai sedemikian yang tanpa kebenaran PBT, agar mereka mengubah semula kepada bentuk asal, atau tindakan tegas bakal diambil.

“Perbuatan itu melanggar Seksyen 79 Akta Jalan, Parit, dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang mana perbuatan mengubah struktur sedemikian mesti selepas mendapat kebenaran bertulis daripada PBT selain peruntukan bahawa PBT boleh memasuki premis itu bagi mengubahnya semula kepada bentuk asal,” katanya dalam sidang media ketika Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pasar Sementara Pasir Pinji, di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan mengenai kegiatan ubahsuai sedemikian yang semakin berleluasa khususnya di bandar besar hinggakan ada premis kedai di Kuala Lumpur diubah suai bagi menempatkan 38 bilik sewa dengan penyewa hanya boleh duduk dan baring di dalamnya pada kadar sewa RM300 sebulan.

Kor Ming berkata, berdasarkan aduan diterima pihaknya, situasi sedemikian tidak hanya berlaku di ibu kota atau Lembah Klang sebaliknya turut meliputi kawasan semua 20 bandaraya yang ada di negara ini termasuk Ipoh.

Katanya, perbuatan itu, selain boleh menjejaskan kesihatan mental apabila mengundang klaustrophobia atau fobia kepada tempat sempit, selain mengundang bahaya terutama dari aspek keselamatan kebakaran.

Terdahulu, ada segelintir pemilik rumah, premis didapati menawarkan bilik sewa seperti rumah kecil di Hong Kong, sebesar peti mayat, bahkan ada yang ubah suai ruang balkoni untuk disewakan kepada pelajar universiti.

Sumber