Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menyatakan larian di ibu negara perlu menggunakan laluan yang diwujudkan secara tetap bagi mengelakkan gangguan aliran trafik akibat penutupan jalan berbeza pada setiap penganjuran acara.

Memetik RTM, penyelarasan laluan secara teratur amat penting memandangkan jumlah kenderaan yang memasuki Kuala Lumpur mencecah lebih sejuta unit setiap hari.

“Kita perlu ada laluan tetap. Kalau tiga kilometer, ini laluannya; kalau lima kilometer, ini laluannya. Penganjur tidak boleh sesuka hati memilih laluan yang mereka mahu.

“Ini adalah kota raya yang sesak. Saya tidak mahu orang ramai membazir masa sehingga tiga jam hanya kerana menunggu jalan dibuka semula.

“Saya tidak boleh terima sekiranya setiap minggu laluan yang ditutup berbeza. Keadaan ini akan menyebabkan bandar raya kita menjadi kelam-kabut kerana orang ramai tidak tahu jalan mana yang akan ditutup,” katanya.

Menurut beliau, penutupan laluan yang tidak konsisten berisiko menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna jalan raya dan mencetuskan kesesakan luar biasa di sekitar ibu kota.

Sehubungan itu, penganjur yang berhasrat menggunakan laluan berlainan disaran memindahkan acara ke lokasi lain yang mempunyai kepadatan trafik lebih rendah.

Beliau turut mencadangkan agar laluan sedia ada yang digunakan bagi Program Hari Tanpa Kenderaan dimanfaatkan sepenuhnya untuk penganjuran sebarang acara larian pada masa akan datang.