Coventry City kendalian Frank Lampard pada ketika ini dilihat semakin hampir untuk menamatkan penantian panjang bagi kembali ke saingan English Premier League (EPL).

Mencatatkan 24 kemenangan, lapan keputusan seri dan tujuh kekalahan selepas mengharungi 39 perlawanan, Coventry mengumpul 80 mata untuk memimpin carta EFL Championship 2025/26.

Dengan aksi hanya berbaki tujuh perlawanan sahaja lagi, Coventry kini sembilan mata meninggalkan pencabar terdekat, Middlesbrough yang hampir 10 tahun meninggalkan kempen EPL.

Frank Lampard
Kredit Foto: Coventry City FC

Kehadiran Lampard dalam membimbing Coventry nyata telah mengubah nasib kelab yang berada West Midlands, England ini.

Direkrut pada 28 November 2024, metodologi digunakan legenda Chelsea itu nampaknya sangat membuahkan hasil buat Coventry City.

Hal ini kerana beliau mengambil alih pasukan ketika Coventry hanya mampu meraih empat kemenangan, lima keputusan seri dan lapan kekalahan untuk menghuni tangga ke-17 dengan 17 mata.

Namun peningkatan luar biasa berjaya ditampilkan pasukan sejak dibawah kendalian Lampard hingga mampu menamatkan saingan liga musim 2024/25 di kedudukan kelima untuk beraksi dalam Play-Off ke EPL.

Perjalanan untuk ke EPL terbantut selepas Coventry tunduk 2-3 menerusi agregat kepada Sunderland yang akhirnya berjaya kembali ke EPL dan cukup cemerlang pada musim ini di saingan paling popular di dunia itu.

Hanya Tujuh Perlawanan Untuk Coventry City Kembali

Kini, dengan hanya tujuh perlawanan berbaki dalam saingan EFL Championship, peluang Coventry City untuk menamatkan musim sebagai juara dilihat semakin cerah.

Jika Coventry berjaya mengekalkan konsistensi dan mengutip sekurang-kurangnya lima kemenangan daripada baki aksi, mereka bukan sahaja berpeluang mengesahkan promosi awal ke EPL, malah berpotensi menamatkan musim sebagai juara liga.

Apa yang lebih penting, kelebihan ini memberi kelebihan psikologi kepada Coventry berbanding pencabar lain yang kini berada dalam tekanan untuk tidak tercicir mata.

Frank Lampard
Kredit Foto: Coventry City FC

Setiap kemenangan selepas ini bakal membawa mereka semakin hampir untuk menamatkan penantian lebih dua dekad kembali ke pentas tertinggi bola sepak England dengan status yang cukup bergaya.

Kepakaran Lampard dalam membimbing kelab besar seperti Chelsea dan Everton amat diperlukan agar impian Coventry untuk menamatkan penantian panjang berakhir.

Kali terakhir Coventry City beraksi di pentas EPL adalah pada musim 2000/01 dimana mereka menamatkan saingan di kedudukan ke-19 dengan 34 mata.