Pengurus Coventry City, Frank Lampard mendedahkan pengaruh berterusan Jose Mourinho amat membantunya karier pengurusannya.
Bekas pemain tengah Chelsea itu mengakui masih mendapatkan nasihat daripada bekas mentornya itu berkenaan persiapan menghadapi cabaran berat English Premier League (EPL) 2026/27, termasuk perlawanan pembukaan menentang juara bertahan, Arsenal.
Hubungan antara kedua-duanya bukan sekadar nostalgia, malah Lampard mengesahkan bahawa beliau masih menghubungi Mourinho untuk mendapatkan nasihat profesional.

Hubungan Erat Lampard Dan Mourinho
Malah, Lampard turut mendedahkan bahawa beliau baru-baru ini mendapatkan pandangan Mourinho mengenai seorang pemain yang tidak didedahkan namanya ketika jendela perpindahan musim panas.
Walaupun Mourinho kini kembali menggalas tugas sebagai pengendali Real Madrid, pengurus berpengalaman itu tetap meluangkan masa untuk memberikan ulasan secara terperinci mengenai pemain berkenaan, sekali gus membuktikan hubungan rapat antara mereka masih kekal kukuh bertahun-tahun selepas mereka bersama di London Barat.
“Jose sentiasa ada. Baru-baru ini saya menghantar mesej kepadanya mengenai seorang lagi pemain. Bukan pemain Real Madrid tetapi pemain yang pernah bekerja dengannya sebelum ini dan dia sentiasa bersedia membantu.”
“Kadangkala dia mengambil masa beberapa hari untuk membalas. Saya tahu dia seorang yang sangat sibuk. Namun, dia membalas dengan memberikan pandangan yang sangat, sangat terperinci mengenai pemain tertentu yang sedang kami bincangkan,” kata Lampard menurut sumber laporan Goal.

“Saya sudah menonton dokumentari Mourinho dan sememangnya ia mengembalikan banyak kenangan manis, khususnya dokumentari pertama kerana ia mengisahkan perjalanan Chelsea. Ia membuatkan saya teringat kembali begitu banyak perkara indah.”
“Saya sudah lama menyedari betapa saya menyayangi Jose, tetapi melihat kembali semuanya menerusi dokumentari itu benar-benar mengujakan. Saya pernah bekerja dengan ramai pengurus hebat, tetapi beliau merupakan individu yang memberikan impak paling besar terhadap karier saya ketika beliau tiba kerana keyakinan yang diberikan kepada saya.”
“Saya rasa ramai pengurus cuba meniru Jose pada tahap tertentu dan saya sendiri tidak akan atau tidak mampu berbuat demikian kerana saya tidak mempunyai karakter seperti beliau. Saya mempunyai identiti dan karakter saya sendiri.”