Mencatatkan keputusan seri buat kali ketiga berturut-turut tidak menghalang Coventry City untuk memastikan slot ke English Premier League (EPL) 2026/27.
Coventry yang dibimbing Frank Lampard menamatkan penantian selama 25 tahun untuk kembali ke saingan utama EPL selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika bertemu Blackburn Rovers di Ewood Park awal pagi tadi.
Coventry menyedari bahawa keputusan seri menentang Blackburn sudah memadai untuk mengesahkan status untuk kembali ke liga utama, namun mereka terpaksa ‘berpeluh’ berdepan tentangan sengit skuad Rovers yang sedang bergelut untuk mengelak daripada penyingkiran.
Pasukan tuan rumah mendahului secara mengejut pada minit ke-54 menerusi pemain Jepun, Ryoga Morishita. Bagaimanapun, Bobby Thomas muncul wira pada minit ke-85 apabila melompat paling tinggi untuk menanduk masuk bola hasil sepakan percuma.
Gol tersebut mencetuskan sambutan luar biasa dalam kalangan 7,000 penyokong pelawat yang telah menanti detik ini selama suku abad.
Lampard Bukti Kemampuan Hebat Kemudi Coventry City Ke EPL
Bagi Lampard, naik pangkat ke EPL ini merupakan kejayaan peribadi yang cukup besar sekali gus memulihkan semula reputasinya sebagai pengurus.
Sejak menggantikan legenda kelab, Mark Robins pada November 2024, Lampard telah mentransformasikan Coventry menjadi pasukan paling garang menyerang dan digeruni dalam saingan Championship.
Walaupun musim pertamanya berakhir dengan kekecewaan di pentas play-off menentang Sunderland, Lampard enggan membiarkan anak buahnya berputus asa.
Musim ini, mereka ‘mengganas’ dalam divisyen tersebut dengan menjaringkan gol terbanyak berbanding pasukan lain, selain mengekalkan konsistensi yang gagal dicabar oleh pesaing mereka.
Kini tumpuan Lampard dan anak buahnya adalah untuk menjuarai EFL Championship dimana mereka ketika ini mendahului Ipswich Town dengan 11 mata. Namun pencabar terdekat itu masih kekurangan dua perlawanan.
Sekiranya Coventry City menang perlawanan seterusnya dan Ipswich keciciran mata dalam salah satu perlawanan simpanan mereka, sambutan juara boleh bermula awal!