Pada petang semalam tular satu klip video paparan dashcam menunjukkan sebuah trak pikap jenis Ford Ranger telah melanggar sebuah motosikal yang ditunggangi empat beranak selepas menukar laluan secara melulu.

Menerusi kemas kini terbaharu, polis telah menahan pemandu trak pikap yang libat dalam kemalangan di Lebuhraya Besraya berhampiran persimpangan Puchong di sini, lapor Harian Metro.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, dalam kejadian pada Selasa itu, penunggang motosikal dan anaknya cedera.

“Kemalangan membabitkan motosikal ditunggang suami isteri berusia 30 tahun bersama anak mereka berumur lima dan tujuh tahun, manakala Ford Ranger dipandu lelaki berusia 21 tahun.

“Dalam insiden itu, penunggang motosikal dan anaknya cedera ringan, manakala individu lain tidak cedera.

“Kedua-dua pihak membuat laporan polis mengenai kemalangan dan susulan itu, kami menahan pemandu Ford Ranger untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20719999 bagi membantu siasatan.