Pasukan Penang FC menegur tindakan Jawatankuasa First Instance Body (FIB) yang bersetuju untuk memberikan lanjutan masa bagi kelab untuk Pelesenan Kelab Kitaran 2024-25 bagi Lesen Kebangsaan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Penang menghargai segala budi bicara FIB namun timbul masalah lain apabila mereka melanjutkan tempoh permohonan lesen.

Baca Juga:

Penang FC Tegur MFL, FIB

𝗞𝗘𝗡𝗬𝗔𝗧𝗔𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗦𝗠𝗜 𝗣𝗘𝗡𝗔𝗡𝗚 𝗙𝗖 𝗕𝗘𝗥𝗛𝗨𝗕𝗨𝗡𝗚 𝗟𝗔𝗡𝗝𝗨𝗧𝗔𝗡 𝗧𝗔𝗥𝗜𝗞𝗛 𝗔𝗞𝗛𝗜𝗥 𝗣𝗘𝗟𝗘𝗦𝗘𝗡𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗟𝗔𝗕

𝗣𝗲𝗻𝗱𝗮𝗵𝘂𝗹𝘂𝗮𝗻

1. Penang FC mengambil maklum mengenai pemakluman rasmi daripada Malaysian Football League (MFL) bertarikh 30 April 2025 berkaitan lanjutan tarikh akhir bagi memuat naik dokumen pelesenan kelab untuk kitaran 2024–2025 dalam sistem AFC CLAS. Tarikh baharu yang ditetapkan ialah selewat-lewatnya pada 10 Mei 2025, jam 11:59 malam.

Penang FC
Penang FC

2. Kami menghargai keprihatinan dan fleksibiliti yang diberikan oleh Jawatankuasa First Instance Body (FIB) dalam mempertimbangkan cabaran yang dihadapi oleh kelab-kelab tertentu.

3. Kami di Penang FC sentiasa memberi komitmen terhadap pematuhan piawaian kewangan dan pentadbiran yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa First Instance Body (FIB) tetapi dalam masa yang sama, kami juga ingin mengutarakan kebimbangan kami terhadap potensi kesan negatif sekiranya lanjutan seperti ini dijadikan kelaziman.

𝗦𝗮𝗹𝗮𝗵 𝗨𝗿𝘂𝘀 𝗞𝗲𝘄𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻

4. Kelonggaran yang diberikan boleh menyebabkan kelab yang menghadapi masalah kewangan menangguhkan langkah-langkah penstrukturan atau penyelesaian masalah yang sepatutnya diambil dengan segera.

5. Tanpa tekanan tarikh akhir yang tegas, wujud risiko bahawa isu kewangan akan berlarutan dan menjadi lebih serius sehingga menjejaskan kelangsungan operasi kelab itu sendiri.

6. Ini juga boleh memberikan kesan negatif kepada pemain, pegawai, dan pihak berkepentingan lain seperti penaja serta penyokong yang mengharapkan kestabilan dan kebertanggungjawaban daripada pengurusan kelab.

Penang FC
Penang FC

𝗣𝗲𝗿𝘀𝗲𝗽𝘀𝗶 𝗯𝗮𝗵𝗮𝘄𝗮 𝗸𝗼𝗺𝗶𝘁𝗺𝗲𝗻 𝗸𝗮𝗺𝗶 𝘁𝗶𝗱𝗮𝗸 𝗱𝗶𝗵𝗮𝗿𝗴𝗮𝗶

7. Pada masa yang sama, lanjutan tarikh akhir yang diberikan FIB memberi kesan yang negatif kepada kelab-kelab yang telah bertungkus-lumus dan mengerah kudrat dalam memastikan tarikh akhir bagi memuat naik dokumen pelesenan kelab untuk kitaran 2024–2025 dipatuhi.

8. Lanjutan tarikh akhir ini tanpa memberikan apa-apa insentif kepada kelab-kelab yang telah mematuhi tarikh akhir merupakan tamparan hebat yang memberikan persepsi bahawa komitmen kami tidak dihargai.

9. Perlu dititikberatkan bahawa dengan keadaan semasa yang penuh dengan onak dan duri dalam mencari dana untuk memastikan kelestarian perjalanan kelab-kelab, MFL hendaklah menghargai kelab-kelab yang telah mematuhi tarikh akhir tanpa gagal.

𝗞𝗲𝘁𝗶𝗱𝗮𝗸𝘀𝗲𝗶𝗺𝗯𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗞𝗼𝗺𝗽𝗲𝘁𝗶𝘁𝗶𝗳

10. Apabila kelab yang tidak memenuhi keperluan kewangan dan pentadbiran tetap dibenarkan untuk bertanding dalam liga, ini akan mencetuskan ketidakseimbangan dalam persaingan.

11. Kelab-kelab yang telah berusaha dengan teliti untuk menepati segala syarat pelesenan secara sah dan tepat pada masanya mungkin akan terjejas atau berada dalam kedudukan yang tidak adil.

12. Keadaan ini boleh menjejaskan kredibiliti liga secara keseluruhan dan memberi persepsi bahawa pematuhan bukanlah satu keutamaan dalam pengurusan bola sepak profesional di negara ini.

𝗣𝗶𝗮𝘄𝗮𝗶𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗕𝘂𝗱𝗮𝘆𝗮 𝗞𝗲𝘁𝗶𝗱𝗮𝗸𝗽𝗮𝘁𝘂𝗵𝗮𝗻

13. Memberikan tempoh lanjutan secara kerap boleh mewujudkan satu budaya di mana pematuhan terhadap peraturan dianggap tidak penting atau boleh dikompromi. Ini bukan sahaja merendahkan piawaian industri bola sepak tempatan, malah boleh menjejaskan reputasi Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa, khususnya dalam konteks pelesenan kelab di bawah naungan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Penang FC
Penang FC

14. Sekiranya tidak dikawal, perkara ini akan menyukarkan usaha ke arah memperkukuh tadbir urus dan profesionalisme dalam pengurusan kelab bola sepak.

𝗞𝗼𝗺𝗶𝘁𝗺𝗲𝗻 𝗣𝗲𝗻𝗮𝗻𝗴 𝗙𝗖

15. Kami di Penang FC kekal teguh dengan prinsip integriti, ketelusan dan profesionalisme dalam setiap aspek pengurusan kelab.

16. Kami dengan rendah diri memohon supaya kelab-kelab yang telah bertungkus-lumus dan mengerah kudrat dalam memastikan tarikh akhir bagi memuat naik dokumen pelesenan kelab untuk kitaran 2024–2025 dihargai oleh MFL.