Bekas pemain tengah Manchester United, Paul Scholes menggesa agar pengurus pasukan, Ruben Amorim untuk menyingkirkan sekurang-kurangnya lapan pemain pada jendela perpindahan kedua musim 2024/2025.
Scholes kurang senang dengan Red Devils yang mengharungi kempen hambar dimana mereka kini menduduki tempat ke-13 dalam kedudukan Liga Perdana Inggeris – kedudukan terendah mereka selepas 22 perlawanan dalam sejarah liga.
Baca Juga:
- ‘Ini Skuad Paling Teruk Dalam Sejarah Kelab’ – Ruben Amorim
- Ruben Amorim: Memang Memalukan Jadi Pengurus Manchester United Yang Alami Banyak Kekalahan
- Pecahan Gaji Baharu Cristiano Ronaldo Bersama Al-Nassr
Amorim yang dilantik bagi menggantikan Erik ten Hag gagal untuk memperbaiki prestasi yang ditampilkan oleh United sekaligus digesa agar menyingkirkan pemain yang dianggap tidak menyumbang kepada pasukan.
Scholes menyenaraikan pemain yang menurutnya harus segera dijual. Antara yang menjadi pilihan Scholes ialah Marcus Rashford, Lisandro Martinez, Matthijs De Ligt, Luke Shaw, Mason Mount, Casemiro, Antony dan Joshua Zirkzee.

Selain itu, Scholes juga berpendapat ada pemain yang wajib dikekalkan kerana masih lagi relevan selain usia yang masih muda dan dianggap mampu untuk menyumbang kepada kelab untuk jangka masa panjang.
Antara pemain yang patut dikekalkan menurut Scholes ialah Alejandro Garnacho, Kobbie Mainoo dan Andre Onana.
Meskipun sering membuat kesilapan, Scholes percaya Onana adalah penjaga gol yang tepat bagi Manchester United dan beliau layak untuk dikekalkan.
“Garnacho dan Mainoo adalah pemain muda yang cemerlang dimiliki kelab ini. Mereka boleh meningkatkan kualiti. Lebih baik simpan,” katanya.
Mainoo dan Garnacho telah menjadi subjek berita perpindahan, dengan Chelsea dilaporkan berminat dengan dua pemain itu. United dikatakan terbuka untuk menjual graduan akademi bagi meningkatkan pematuhan Peraturan Keuntungan dan Kelestarian (PSR). Selain itu, Napoli turut memantau situasi Garnacho.
Rashford pula hampir pasti meninggalkan pasukan dimana wakil kepada pemain itu telah membuat pertemuan dengan Barcelona bagi membincangkan syarat untuk proses perpindahan.
Sejak Amorim dilantik sebagai pengurus baharu, Rashford tidak lagi menjadi pilihan untuk membarisi kesebelasan utama.
Pemain itu bahkan tidak tersenarai dalam skuad hari perlawanan yang mana menunjukkan pengurus dari Portugal itu tidak meletakkan Rashford dalam perancangannya dan lebih gemar untuk menggunakan pemain lain dalam kesebelasan utama.