Datuk Lee Chong Wei telah dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N.) yang membawa kepada gelaran Dato’ Seri buat legenda badminton negara itu.
Chong Wei menerima darjah kebesaran tersebut pagi tadi dalam Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang 2025 sempena Sambutan Ulang Tahun Yang Dipertua Negeri Ke-84, Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli bin Ngah Talib di Dewan Sri Pinang pada 30 Julai 2025.
Baca Juga:
- Lee Chong Wei Jadi Antara Pemegang Saham Utama Syarikat Pelaburan Hartanah Terkemuka

- Lee Chong Wei Nasihati Aaron-Wooi Yik: ‘Jangan Jadi Macam Saya Dapat Tiga Pingat Sama Warna’

- Lee Chong Wei Kongsi Kisah Lucu Ketika Beraksi Di Olimpik
Berusia 42 tahun, Lee Chong Wei merupakan salah seorang daripada 1,530 penerima Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang yang diadakan di Dewan Sri Pinang, Jalan Tun Syed Sheh Barakbah, George Town itu.

Lee Chong Wei Figura Hebat Badminton Negara
Sumbangan besar legenda ulung itu terhadap badminton tanah air tidak perlu untuk diperkatakan lagi dengan keupayaannya berada selama 348 minggu (6 tahun 8 bulan) sebagai pemain ranking pertama dunia.
Selain itu, beliau berjaya membawa pulang tiga pingat perak Sukan Olimpik secara berturut-turut.
Mengulas mengenai penerimaan darjah kebesaran tersebut, Dato’ Seri Lee Chong Wei meluahkan rasa penghargaan terhadap pengiktirafan diterimanya.
“Terima kasih atas kurniaan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N.) daripada Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib, Yang Di-Dipertua Negeri Pulau Pinang, sempena Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang 2025 sempena Sambutan Ulang Tahun Yang Dipertua Negeri Ke-84 pada hari ini.”

“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas pengiktirafan yang amat bermakna ini.”
“Walaupun saya telah bersara dari gelanggang, semangat Malaysia terutamanya Pulau Pinang sentiasa saya bawa ke mana sahaja saya pergi.”
“Gelaran ini bukan hanya untuk saya, tetapi untuk semua yang telah menyokong saya sepanjang perjalanan ini,” ujar beliau menurut hantaran di Instagram Storynya.