Bekas pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menjadi salah seorang pemegang saham utama syarikat pelaburan hartanah terkemuka, Magma Group Bhd.
Menurut pihak syarikat, kemasukan pemegang saham utama baharu itu memperkukuhkan lagi struktur modal kumpulan, petik Berita Harian.
Baca Juga:
- Magma Group Berhad Beli Tanah Daripada Syarikat Datuk Lee Chong Wei RM80 Juta
- “Masa Kecil Dulu, Aku Minat Main Bola Gak” – Datuk Lee Chong Wei
- ‘Jangan Jadi Keyboard Warrior Je’ – Lee Chong Wei Tegur Netizen Untuk Komen Yang Lebih Membina
Datuk Lee Chong Wei memperoleh kepentingan langsung sebanyak 26.5 juta saham (1.7 peratus) dan kepentingan tidak langsung dalam 127 juta saham (8.15 peratus).
Manakala Lee Kim Hai kini memegang kepentingan tidak langsung dalam 120 juta saham (7.69 peratus).
Selepas penyelesaian peruntukan saham, Skyfold Express Sdn Bhd muncul sebagai pemegang saham utama secara langsung dengan 120 juta saham atau 7.69 peratus pegangan dalam Magma Group Bhd.
Empire Solaris Sdn Bhd pula menjadi pemegang saham utama melalui kepentingan tidak langsung dalam jumlah saham yang sama.
Magma Group berbesar hati terima kemasukan Datuk Lee Chong Wei
Sementara pemegang saham utama sedia ada, Datuk Seri Lee Hock Seng, telah menambah pegangan sahamnya dan kini memegang kepentingan langsung sebanyak 120.8 juta saham serta 182 juta saham tidak langsung, menjadikan jumlah pegangan beliau sekitar 19.42 peratus.
“Kami berbesar hati menyambut Skyfold Express, Empire Solaris, Lee Kim Hai dan Datuk Lee Chong Wei ke dalam keluarga Magma.
“Kehadiran mereka bukan sahaja menandakan satu detik penting dalam perjalanan korporat kami, tetapi juga mengukuhkan visi bersama kami untuk penciptaan nilai jangka panjang.
“Kami yakin sokongan mereka akan mempercepatkan usaha kami dalam memperkukuhkan asas-asas Magma dalam bidang hospitaliti dan hartanah,” kata Pengarah Urusan Magma Group, Datuk Seri Thomas Liang Chee Fong.
Terdahulu, Magma Group Bhd dilaporkan membeli tanah pegangan pajak seluas 2.26 ekar di Persiaran Dutamas, Kuala Lumpur milik Skyload Express Sdn Bhd, syarikat 45 peratus milik Datuk Lee Chong Wei dengan harga RM80 juta.