Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui dirinya tetap positif dan masih belum berputus asa memburu dalam memburu kejuaraan.

Nama Zii Jia terus menjadi tumpuan selepas beliau tewas seawal pusingan pertama dalam saingan Terbuka Malaysia 2024 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil semalam.

Baca Juga:

Meskipun menang set pertama 21-16 pada pertemuan menentang Lu Guang Zu dari China, Zii Jia kemudiannya tewas dua set berikutnya 19-21, 15-21.

Kekalahan yang nyata menyaksikan beliau menjadi mangsa kritikan hebat para peminat badminton tanah air.

“Saya pun bosan hendak cakap benda sama (tentang kekalahan), namun untuk bahagian saya, tetap ada positif dan tidak menyerah kalah.

“Apa yang jurulatih ajar saya tidak menyerah kalah untuk sentiasa mencuba. Saya perlu sabar dan tidak tahu sampai bila (penantian akan berakhir),” ujar Lee Zii Jia menurut sumber laporan Harian Metro.

Daripada enam wakil negara yang beraksi semalam hanya dua daripadanya berjaya mara ke pusingan kedua iaitu Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

Sembilan lagi wakil negara akan beraksi pada hari ini yang diketuai oleh Ng Tze Yong dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Terbuka Malaysia 2024 merupakan kejohanan berstatus Super 1000 yang menawarkan hadiah wang tunai serta mata ranking tinggi buat para pemain.

Kali terakhir pemain negara muncul juara di kejohanan ini ialah Datuk Lee Chong Wei yang memenangi pada edisi 2018.