Skuad badminton negara memulakan kempen hari pertama Terbuka Malaysia 2024 dengan kurang memberangsangkan apabila hanya dua daripada enam wakil negara mara ke pusingan kedua.
Saingan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil itu menyaksikan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi cemerlang menundukkan Lu Ching Yao-Yang Po Han dari Chinese Taipei.
Baca Juga:
- Saranan Mendiang Bapa Rintis Karier Gemilang Rexy Mainaky Takluk Dunia Badminton
- Enggan Beri Tekanan Kepada Anak, Chen Long Dan Isteri Tak Pamer Medal Kejuaraan Di Rumah
- BWF: Sumbangan LCW Pada Badminton Besar, Layak Berada Dalam Hall Of Fame
Pasangan ranking ke-12 dunia yang terkenal dengan kekentalan ketika bertahan dilihat cukup agresif bagi memerangkap Ching Yao dan Po Han untuk memenangi set pertama 21-14.
Momentum itu dikekalkan Yew Sin-Ee Yi yang mengesahkan kemenangan 21-15 bagi menempah pertemuan menentang Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada Rabu ini.
Turut mara ialah Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang berjaya menundukkan gandingan suami isteri dari England, Gregory Mairs-Jenny Mairs.
Kemenangan pasangan kekasih itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah apabila mereka terpaksa mengharungi aksi sengit yang berlarutan hingga ke ‘rubber set’ 21-16, 15-21, 21-17.
Sementara itu sokongan padu penyokong tuan rumah masih belum cukup membantu empat lagi wakil negara iaitu Lee Zii Jia, Pearly Tan-M. Thinaah, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang tewas kepada lawan masing-masing.
Zii Jia yang menang set pertama 21-16 pada pertemuan menentan Lu Guang Zu gagal menggunakan kelebihan tersebut yang menyaksikan beliau tewas 19-21 untuk aksi terpaksa berlanjutan ke set penentuan.
Bagaikan mendapat semangat tambahan susulan kemenangan pada set kedua itu, Guang Zu tidak menoleh ke belakang lagi untuk menundukkan pemain perseorangan nombor satu negara tersebut dengan keputusan 21-15.
Pearly-Thinaah pula tewas ditangan pasangan ranking kelapan dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning 20-22, 15-21 manakala Wei Chong-Kai Wun tunduk kepada pasangan nombor satu dunia, Liang Weng Keng-Wang Chang 12-21, 19-21.
Sementara itu, Kian Meng-Pei Jing pula kecundang di tangan Kim Won Ho-Jeong Na Eun 11-21, 16 21.
Terbuka Malaysia 2024 merupakan kejohanan berstatus Super 1000 yang menawarkan hadiah wang tunai serta mata ranking tinggi buat para pemain.