Ong Yew Sin-Teo Ee Yi memastikan acara beregu lelaki menjadi penyelamat kem negara apabila mara ke suku akhir Terbuka Malaysia 2024 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Ketika Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan berdepan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dalam satu lagi aksi peringkat 16, Yew Sin dan Ee Yi cemerlang menundukkan wakil Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.

Baca Juga:

Lawan yang ditentang gandingan negara itu bukanlah calang-calang pasangan kerana mereka kini berada di kedudukan kelima dalam ranking dunia.

Namun berbekalkan sorakan padu para peminat, Yew Sin-Ee Yi mempamerkan aksi cukup agresif pada set pertama untuk menang mudah 21-10.

Tersentak dengan kekalahan tersebut, Astrup-Rasmussen nyata sukar digugat pada set kedua bagi membolehkan mereka menang dengan 21-11 sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.

Keadaan begitu genting pada set ketiga apabila Yew Sin-Ee Yi ketinggalan lima mata ketika kedudukan 7-12.

Tidak mahu menghampakan peminat yang hadir, mereka memperkemaskan aksi hingga berjaya mengikat kembali kedudukan.

Aksi sengit kejar mengejar mata berlarutan hingga ke saat akhir yang menyaksikan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi berjaya mengesahkan kemenangan dengan 24-22.

Satu kemenangan yang cukup mendebarkan dirakam oleh pasangan ranking ke-12 dunia itu untuk melangkah ke suku akhir.

Menanti mereka di suku akhir ialah pemenang antara pertembungan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun dan pasangan Scotland, Alexander Dunn-Adam Hall.

Manakala Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Goh Jin Wei dan Chang Peng Soon-Cheah Yee See pula terpaksa berputih mata tewas kepada lawan masing-masing.