Dalam satu kejadian tragis, seorang lelaki dilaporkan telah didakwa membunuh ibunya. Kejadian yang berlaku di Muar, Johor itu telah mengakibatkan seorang wanita berusia 73 tahun maut ditangan anaknya sendiri.

Menurut Harian Metro, dilaporkan bahawa lelaki itu tertekan selepas dimarahi ibunya. Dia lalu mengambil pisau dapur dan sebilah kapak, lalu menyerang ibunya ketika dia duduk di ruang tamu.

Baca Juga:

Serangan itu menyebabkan wanita warga emas itu mengalami empat kesan tikaman, mengakibatkan dia mati di tempat kejadian. Selepas kejadian, suspek tidak melarikan diri, tetapi duduk di sebelah ibunya sambil menunggu ketibaan polis.

Seorang cucu yang tinggal bersama mangsa sempat melarikan diri dari rumah ketika kejadian itu berlaku dan meminta bantuan jiran. Bagaimanapun, tiada sesiapa yang berani mendekati rumah berkenaan ketika suspek masih berada di dalam, sehingga polis dan ambulans tiba.

Difahamkan bahawa suspek berusia 47 tahun itu sebelum ini menjalankan perniagaan Otak-Otak tetapi kini menganggur.

Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz dalam satu kenyataan berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan leher.

“Kejadian dipercayai berlaku berikutan mangsa menegur suspek yang membuat bising menyebabkan suspek hilang kawalan dan memukul kepala mangsa menggunakan senjata tajam,” katanya

Siasatan awal polis menunjukkan suspek mempunyai rekod rawatan psikiatri. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.