Lumrah orang berkahwin, pergaduhan selalunya akan terjadi tentang hal-hal besar mahupun kecil. Sesetengah pasangan mungkin berjaya membetulkan keadaan serta mencapai persetujuan, manakala sebahagian lagi mungkin melakukan perkara-perkara yang tidak masuk akal.

Menurut laporan NST, seorang lelaki di Perak bertindak membakar dan membunuh pasangannya setelah berang dengan tuduhan yang dilemparkan oleh isterinya.

Baca Juga:

Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah, beliau berkata kejadian berlaku di sebuah rumah di Kampung Bharu pada Isnin (10 Julai) dan polis menerima panggilan daripada kakak suspek pada 6.42 petang.

Mangsa berusia 33 tahun yang dibakar di rumah oleh suaminya, dikejarkan ke Hospital Seri Manjung disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 12.20 tengah hari.

“Siasatan kami mendapati suspek berusia 28 tahun tidak berpuas hati selepas didakwa mengambil dadah oleh isteri dan keluarganya. Polis telah berjaya menahan suspek di sebuah restoran di Manjung pada pukul 11 malam pada Selasa (11 Julai) dan dia akan direman sehingga 18 Julai untuk membantu siasatan,” katanya.

Mohamed Nordin berkata bedah siasat akan dijalankan hari ini bagi mengenal pasti punca kematian mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.