Dalam langkah berani dan kreatif, seorang penduduk di Sabah, Mahathir Aripin, baru-baru ini menjadi tajuk utama apabila beliau mengambil pendekatan proaktif untuk menangani isu jalan berlubang.

Beliau yang kecewa dengan banyaknya laporan yang dibuat tetapi satu pun tidak diendahkan, Aripin telah memutuskan untuk mengambil jalannya sendiri yang akhirnya membuahkan hasil.

Baca Juga:

Dalam catatan Facebook yang kini viral bertarikh 29 Januari, Aripin berkongsi imej pokok pisang yang ditanamnya di salah satu lubang yang terdapat di tengah jalan.

Dia meluahkan rasa simpati kepada pengguna jalan raya yang perlu berhadapan dengan masalah jalan berlubang. Dengan nada bergurau, beliau berkata, “Kalau sda (sudah) ada hasil nt (nanti).. beli tar sendiri untuk tutup tu lubang… kasian bah pengguna jalan raya.”

Gambar yang dimuat naik tersebut telah mendapat perhatian meluas sehingga sampai ke pengetahun Kementerian Kerja Raya di negeri ini.

Dalam catatan Facebook berikutnya pada 30 Januari, pihak kementerian mengesahkan bahawa lubang yang ditutup pokok pisang oleh Aripin telah diperbaiki pada hari yang sama.

Bagaimanapun, mereka turut mengingatkan orang ramai bahawa hujan berterusan di kawasan itu mungkin menjejaskan kerja-kerja menampal.

Walaupun menghadapi cabaran cuaca, kementerian memberi jaminan kepada pengguna jalan raya bahawa syarikat konsesi akan berusaha untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan demi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.