Dalam kejadian yang pelik di Shenzhen, China, seorang lelaki berusia 36 tahun bernama Chen terkejut apabila darahnya bertukar menjadi warna hijau.
Kejadian ini berlaku disebabkan tabiatnya yang meminum alkohol hampir setiap hari selama beberapa tahun.
Menurut laporan berita oleh CTWANT, Chen mula perasan kehilangan selera makan, dan kulit serta matanya bertukar menjadi kuning.
Selain itu, dia juga mengalami loya, muntah-muntah, dan kesukaran bernafas.
Chen kemudian mendapatkan rawatan doktor, dan keadaannya didapati berbeza daripada pesakit yang mengalami jaundis hepatitis, satu penyakit hati yang menyebabkan kulit dan mata menjadi kuning.
Ujian air kencing kemudian mendedahkan bahawa Chen mempunyai tahap keton yang tinggi, menyebabkan doktor percaya bahawa dia mengalami ketoasidosis diabetik, komplikasi serius diabetes.
Keputusan ujian itu telah membuatkan dia terkejut kerana dia tidak mempunyai sejarah diabetes sebelum ini.
Chen bertambah terkejut darahnya tidak berwarna merah gelap seperti biasa, sebaliknya berwarna hijau dan bertekstur seperti susu.
Punca darah hijau ini ditemui berpunca daripada kerosakan hati yang teruk akibat penyalahgunaan alkohol jangka panjang serta tahap lemak yang sangat tinggi dalam darah (hiperlipidemia) akibat pemakanan dan minuman yang berlebihan.
Selain darah yang kelihatan luar biasa, pundi hempedu Chen juga didapati mengalami radang yang teruk, sementara tahap kolesterol beliau adalah 10 kali ganda daripada paras normal.
Akhirnya, Chen didiagnos dengan beberapa kondisi kesihatan seperti hepatitis jaundis akut, penyakit hati akibat alkohol, ketoasidosis diabetik, dan hiperlipidemia.
CTWANT juga melaporkan bahawa jika diabetes Chen tidak dikesan lebih awal, dia mungkin akan mengalami serangan jantung, strok, dan penyakit lain yang boleh membawa maut.