Satu prosedur pergigian di China yang melibatkan seorang warga emas yang hadir untuk cabut gigi berakhir dengan tragedi selepas lelaki itu maut 13 hari kemudian, dipercayai akibat kesakitan melampau yang dialaminya, lapor Oddicity Central.

Pihak berkuasa kini sedang menyiasat kes ini yang telah mencetuskan kebimbangan di kalangan penduduk tempatan.

Kejadian malang ini berlaku di Yongkang City, Zhejiang, apabila seorang wanita bernama Shu membuat aduan kepada Biro Kesihatan Awam selepas kematian bapanya.

Beliau mendakwa prosedur di mana 23 batang gigi bapanya dicabut dan 12 implan gigi dipasang dalam satu hari telah menjadi punca kematian bapanya, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Ogos, hanya 13 hari selepas prosedur tersebut.

Menurut dokumen yang dikemukakan, lelaki berkenaan menjalani prosedur mencabut 23 gigi semulajadi dan lubang ditebuk bagi memasang 12 implan gigi baharu.

Shu menceritakan bagaimana bapanya mengalami kesakitan yang luar biasa selepas kesan bius hilang.

Proses yang biasanya dijalankan dalam beberapa sesi ini dilakukan dalam satu hari sahaja, yang menimbulkan persoalan tentang etika dan keselamatan amalan pergigian klinik tersebut.

Sementara itu, wakil dari klinik pergigian di mana prosedur ini dijalankan menegaskan bahawa jumlah gigi yang boleh dicabut dalam satu sesi bergantung kepada keadaan fizikal pesakit dan keputusan doktor selepas pemeriksaan.

Doktor yang terlibat, dikenali sebagai Dr. Yuan dari Dewei Dental Hospital, mempunyai kepakaran dalam rawatan saluran akar, pembuangan gigi geraham yang terbenam, dan pemasangan gigi palsu.

Namun, tiada peraturan khusus yang menetapkan had bilangan gigi yang boleh dicabut dalam satu sesi, tetapi faktor seperti toleransi kesakitan pesakit dan risiko jangkitan sepatutnya diambil kira oleh klinik serta doktor yang bertanggungjawab.

“Semakin banyak gigi yang dicabut, semakin besar tindak balas kesakitan pesakit dan kemungkinan jangkitan selepas operasi,” jelas Xiang Guolin, Pengarah Pusat Pergigian Oral Hospital Keempat Wuhan.

Walaupun siasatan sudah dijalankan oleh pihak berkuasa, wakil dari Biro Kesihatan Awam mengakui bahawa untuk membuktikan bahawa wujud hubungan antara prosedur pergigian tersebut dengan kematian adalah sukar, memandangkan pesakit meninggal dunia 13 hari selepas prosedur itu dijalankan.

Pihak keluarga, terutamanya Shu, menuntut agar keadilan ditegakkan dan mereka yang bertanggungjawab atas kematian bapanya dibawa ke muka pengadilan.

Kes ini telah membangkitkan perdebatan mengenai keselamatan amalan pergigian di China, terutama apabila melibatkan prosedur besar seperti ini yang dilakukan dalam satu sesi.