Pada minggu lalu tular kisah seorang pekerja 7-Eleven ditumbuk dan diajak selfie dengan seorang lelaki dipercayai mabuk.

Hari ini tertuduh, seorang penyelia tapak pembinaan didakwa di Mahkamah Majistret. Bagaimanapun Divagaran Uthaya Sooriyam, 32, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.

Baca Juga:

Mengikut pertuduhan, lelaki itu yang masih bujang didakwa didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah ke atas seorang lelaki berusia 18 tahun di kedai serbaneka di Ecohill Taipan, Semenyih, Hulu Langat, 5 pagi, 20 Jun lalu.

Oleh itu dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman manakala tertuduh diwakili peguam V Vickneswari.

Siti Nur Liyana menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat supaya tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, Vickneswari dalam rayuannya memohon jaminan serendahnya dikenakan.

“Tawaran jaminan agak tinggi dan mohon jaminan serendahnya dikenakan.

“Anak guam sebagai satu-satunya anak lelaki perlu menjaga ibu bapa, selain bergaji tidak tetap antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan dan mempunyai komitmen bayaran bulanan kereta serta rumah masing-masing RM500,” katanya.

Nurdiyanah kemudian membenarkan jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Ogos sebutan kes untuk serahan dokumen dan laporan perubatan.

Sumber