Lembaga Pengarah Liverpool dilaporkan sudah memilih ‘sisi’ mereka dalam pertelingkahan dalaman yang mengejutkan di Anfield susulan luahan lantang Mohamed Salah.

Bintang Mesir itu tampil menyerang kelab dengan mendakwa mereka telah ‘mengkhianatinya’, selain mengakui beliau langsung tidak mempunyai hubungan kerja dengan pengurus pasukan, Arne Slot.

Baca Juga:

Situasi itu kini meletakkan pihak atasan The Reds berdepan drama ‘pemain lawan pengurus’ di Merseyside.

Menurut sumber laporan Goal, beberapa figura berpengaruh yang mempunyai hubungan profesional kuat dengan Liverpool menegaskan bahawa tiada siapa yang akan lebih besar daripada kelab.

Salah turut diingatkan secara terus-terang tentang perkara itu dengan pemain berusia 33 tahun tersebut dianggap telah membiarkan egonya menguasai diri.

Ahli Lembaga Pengarah Liverpool ‘Di Pihak Slot’

Seperti disahkan Fabrizio Romano sebentar tadi bahawa Ahli Lembaga Pengarah dan Arne Slot telah membuat keputusan bahawa Salah diketepikan daripada skuad The Reds berkunjung ke Milan untuk berhadapan dengan Inter.

Malah, terdapat juga kemungkinan beliau tidak akan diturunkan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Brighton pada Sabtu.

Salah kini perlu menerima apa sahaja keputusan yang bakal ditentukan Slot dan dilaporkan bahawa pihak lembaga Liverpool percaya ketua jurulatih mereka ‘patut diberikan kebebasan sepenuhnya dalam membuat keputusan taktikal dan para pemain seharusnya bertindak balas secara profesional terhadap keputusan tersebut’.

Namun, Salah memilih untuk bertindak secara emosional berbanding profesional dan ramai mempersoalkan keputusannya untuk meluahkan isu itu secara terbuka.

Walaupun beliau berhak berasa kecewa lebih-lebih lagi selepas tidak digunakan langsung menentang West Ham pada 30 November, namun perkara tersebut sebenarnya boleh diselesaikan secara dalaman tanpa mencetuskan kontroversi umum.