Juara dunia Formula 1 tujuh kali, Lewis Hamilton mencuri perhatian apabila meluangkan masa mengunjungi kawasan sempadan Rafah di Gaza bagi melihat sendiri usaha penyaluran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Lewis Hamilton ingin tahu apa sebenarnya sedang berlaku di sana dengan mata kepalanya sendiri. Kerana agak sukar untuk menyalurkan bantuan akibat beberapa karenah birokrasi dan sekatan.

Lawatan itu menyaksikan Hamilton bertemu petugas kemanusiaan yang terlibat dalam operasi mengumpulkan dan menyalurkan bekalan ke Jalur Gaza yang terus berdepan krisis kemanusiaan.

Menurut laporan AFP, lawatan tersebut diatur oleh Gabenor Sinai Utara, Khaled Megawer, yang mengajak Hamilton melihat usaha Mesir dalam menyokong rakyat Palestin di Gaza.

Video yang dikongsikan menerusi pejabat gabenor berkenaan memperlihatkan Hamilton menyantuni beberapa petugas bantuan sebelum mendengar penerangan mengenai operasi penghantaran bekalan ke wilayah tersebut.

Lawatan itu berlangsung ketika Gaza berdepan keadaan semakin sukar selepas hujan lebat melanda kawasan berkenaan minggu ini sehingga menyebabkan puluhan ribu khemah penduduk terjejas.

Lebih membimbangkan, sebahagian besar penduduk Gaza masih kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berlindung di kawasan penempatan khemah selepas banyak bangunan mengalami kerosakan atau musnah akibat peperangan.

Berdasarkan perjanjian gencatan senjata yang dicapai Israel dan Hamas tahun lalu, sekurang-kurangnya 600 trak bantuan sepatutnya dibenarkan memasuki Gaza setiap hari.

Bagaimanapun, petugas kemanusiaan mendakwa hanya sebahagian kecil daripada jumlah itu dibenarkan masuk oleh pihak berkuasa Israel yang mengawal akses ke wilayah berkenaan.

Malah, Board of Peace yang disokong Amerika Syarikat turut menggesa Israel supaya segera membenarkan kemasukan bantuan musim sejuk bagi membantu penduduk menghadapi keadaan cuaca yang semakin mencabar.

Kehadiran Hamilton di sempadan Rafah sekali gus memberi perhatian kepada operasi bantuan kemanusiaan yang masih berlangsung ketika jutaan rakyat Palestin berdepan kesukaran mendapatkan keperluan asas.