Liam Gallagher kembali mencetuskan kontroversi selepas bersikap angkuh dan hina peminat yang mengeluh mengenai harga tiket mahal untuk konsert reunion OASIS tahun depan.

Ramai peminat kecewa apabila tiket yang sepatutnya dijual pada harga yang lebih rendah, melonjak sehingga ke ratusan pound berikutan penggunaan sistem penentuan harga dinamik.

Menurut laporan Malay Mail, di platform X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter), seorang pengguna menyatakan rasa kecewanya dengan komen, “Didn’t expect them to rip the fans off as much as they have done. It’s genuinely a shame.”

Namun, tidak sampai dua minit, Liam, vokalis utama kumpulan rock tersebut, membalas dengan nada sinis dan ringkas, menyuruh peminat itu untuk diam.

Reaksi ini menimbulkan kemarahan ramai peminat setia yang merasakan bintang rock tersebut tidak mengendahkan keluhan mereka.

Untuk rekod, tiket konsert reunion OASIS kini rebutan, tetapi ramai peminat mengadu sulit untuk mendapatkan tiket akibat masalah teknikal pada sistem pembelian.

Mereka yang ‘bernasib baik’ pula terpaksa membayar harga jauh lebih tinggi daripada yang diiklankan.

Tiket yang sepatutnya berharga £148 (RM841) melambung sehingga £355 (RM2,108) akibat sistem penetapan harga dinamik yang digunakan oleh Ticketmaster, di mana harga tiket naik mengikut permintaan.

Peminat yang kecewa turut menyuarakan kemarahan mereka di X, dan Liam, 51, tidak melepaskan peluang untuk terus menyindir mereka.

Salah seorang peminat bertanya, “Got any spare tickets?” dengan Liam membalas secara sarkastik, “S*** loads but there really expensive 100 thousand pounds Kneeling only.”

Tidak berhenti di situ, Liam turut menyindir peminat lain yang bertanya tentang perasaan ibunya, Peggy Gallagher, mengenai reunion ini.

Liam dengan sinis menjawab, “She’s gutted she couldn’t get a ticket.”

Pengenalan sistem harga dinamik oleh Ticketmaster telah membawa kepada siasatan oleh Competition and Markets Authority (CMA) di UK.

Walaupun sistem ini tidak menyalahi undang-undang, CMA menegaskan bahawa syarikat perlu telus mengenai bagaimana harga ditetapkan dan tidak mengelirukan pengguna.

Ironinya, Liam sendiri pernah mengkritik harga tiket konsert pada 2017, di mana tweet lama beliau tular semula.

Dalam tweet tersebut, Liam menulis, “350 dollars to go and see rkid in USA what a c*** when will it all stop as you were LG.”

Kini, ciapan itu seolah-olah menjadi ‘boomerang’ apabila beliau sendiri terlibat dalam situasi serupa.