Persaingan sengit merebut kejuaraan Liga Super Liga Futsal IPT 2025 akhirnya menyaksikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus mengukuhkan dominasi mereka dalam kejohanan tersebut.
Aksi fasa 3 yang berlangsung di Azman Hashim Sports Arena Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang penuh dengan cerita menarik.
Baca Juga:
- Liga Futsal IPT 2025: Dominasi, Kejutan & Aksi Berkualiti Warnai Fasa 1

- Futsal IPT 2024: UniKL Menang Bergaya, Juarai Liga Premier

- Tundukkan KPTM Bangi, UiTM Muncul Juara Liga Futsal IPT 2023

Keputusan seri 2-2 pencabar terdekat, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menentang Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi jelas menjadi rahmat besar buat UiTM untuk sekali lagi muncul juara.
Lebih mengecewakan buat UniKL yang terlebih dahulu beraksi apabila UiTM tumpas 2-5 pada perlawanan terakhir ketika bertemu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Seandainya berjaya menumpaskan KPTM Bangi, UniKL bakal muncul juara meskipun terikat 20 mata dengan UiTM tetapi mereka memiliki kelebihan perbezaan jaringan lebih besar.

Namun itu hanyalah ‘cerita seandainya’. Hakikatnya, kegagalan UniKL mengutip tiga mata penuh menjadi detik penentu yang menghadiahkan trofi kepada UiTM.
Tempat kedua menjadi milik Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang mengumpul 19 mata dimana mereka menang aksi terakhir 4-1 ke atas Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
UniKL yang mengumpul 18 mata menghuni tangga ketiga dan diikuti UPSI dengan 14 mata, Politeknik Malaysia (14 mata) dan UMPSA mengutip 12 mata.
Daripada 10 pasukan yang bertanding dalam Liga Super kategori lelaki ini, KPTM Bangi bersama-sama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) terpaksa menelan kepahitan turun ke Liga Premier pada musim hadapan.

Management and Science University (MSU) pula cemerlang untuk muncul juara dalam saingan Liga Futsal IPT 2025 bagi Liga Premier.
Skrip sama turut berlaku dalam kempen Liga Premier apabila Universiti Malaya (UM) yang merupakan pencabar kejuaraan mengalami kekalahan ketika misi wajib menang pada aksi terakhir mereka.
Ketika UM tewas 1-2 kepada University of Nottingham Malaysia (UNM), MSU turut mengalami kekalahan 2-3 kepada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Sehubungan dengan itu, MSU muncul juara dengan 20 mata, UM di kedudukan kedua selepas mengutip 18 mata dan 16 mata buat UNM.
Empat pasukan terbawah iaitu UC TATI, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), International Islamic University Malaysia (IIUC) dan Universiti Utara Malaya (UUM) terpaksa beraksi di pusingan kelayakan pada tahun hadapan.
Drama pada aksi terakhir turut dapat disaksikan dalam kategori wanita apabila kekalahan 0-2 UPSI ke atas Universiti Putra Malaysia (UPM) memadamkan peluang mereka untuk bergelar juara selepas UiTM berjaya menewaskan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) 3-0.
Lebih menarik, UiTM muncul juara berdasarkan kelebihan perbezaan jaringan apabila mereka terikat 18 mata dengan UPNM.
Sekiranya UPSI menang 1-0 pada perlawanan terakhir itu, mereka muncul juara berbekalkan kelebihan perbezaan jaringan kerana turut mengutip 18 mata dan mempunyai 16 perbezaan jaringan.
Tetapi sekali lagi diperkatakan, itu hanyalah cerita seandainya dan barisan pemain UPSI pastinya cukup kecewa dengan keputusan pada aksi terakhir itu.
Liga Futsal IPT 2025 Penuh Drama Menarik
Menariknya, persaingan edisi kali ini memberikan gambaran jelas bahawa saingan futsal IPT semakin sengit dan tidak lagi boleh dijangka.
Setiap pasukan dalam Liga Futsal IPT 2025 tampil dengan kelebihan tersendiri dan jurang antara pencabar dilihat semakin mengecil berikutan proses transisi pemain.
Walaupun UiTM terus mendominasi, skrip ‘cerita seandainya’ yang dialami UniKL, UM dan skuad wanita UPSI menjadi bukti bahawa kejuaraan boleh berubah arah pada bila-bila masa,
Ia sekali gus menjadikan saingan Liga Futsal IPT 2025 sebagai antara edisi paling mendebarkan dalam sejarah penganjurannya.