Persaingan untuk merebut pingat dalam acara futsal Sukan SEA 2025 semakin terbuka apabila Vietnam tampil cemerlang menundukkan Indonesia 1-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Nonthaburi sebentar tadi.

Kemenangan tersebut boleh dikatakan satu kejutan kerana Indonesia yang dibimbing Hector Suoto dilabel sebagai pasukan calon pemenang pingat emas pada edisi kali ini.

Namun, itu hanyalah ramalan di atas kertas setelah Vietnam yang tumpas 2-4 kepada Malaysia petang semalam mempamerkan disiplin tinggi ketika bertahan untuk menyerap tekanan hebat dijelmakan Indonesia.

Vietnam Kembali Bangkit

Pham Van Tu jelas menjadi watak utama dalam merintis kemenangan ini apabila penjaga gol berusia 28 tahun itu beraksi cukup cemerlang dalam menggagalkan ‘hujan’ serangan daripada pasukan juara Piala AFF Futsal 2024 itu.

Gol tunggal perlawanan ini dihasilkan pada minit ke-11 menerusi Tu Minh Quang yang menyudahkan sepakan percuma untuk menewaskan penjaga gol Indonesia, Ahmad Habiebie.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Indonesia berusaha keras untuk mendapatkan gol penyamaan termasuklah dengan menggunakan taktikal ‘Power Play’.

Namun, anak buah Diego Raúl Giustozzi itu kental bertahan untuk memastikan tiga mata menjadi milik Vietnam.

Dengan kemenangan penting dilakarkan, Vietnam kini melonjak di tangga ketiga untuk menolak Malaysia di kedudukan keempat.

Malaysia berpeluang naik ke tangga kedua sekiranya berjaya menumpaskan Myanmar pada aksi yang berlangsung pada 8.00 malam ini tetapi empat lagi pasukan lain masih kekurangan satu perlawanan berbanding skuad negara.