Skuad futsal Malaysia tampil dengan lebih bertenaga di perlawanan kedua saingan Sukan SEA 2025 selepas menundukkan Vietnam 4-2 pada aksi yang berlangsung sebentar tadi.

Kemenangan penting itu jelas menjadi tonik berguna buat kendalian Rakphol Sainetngam tersebut yang sebelum ini tewas kepada Thailand pada aksi pembukaan.

Tonik Berharga Skuad Futsal Malaysia

Skuad negara tersentak seawal minit ketiga permainan selepas pemain muda, Nguyen Da Hai mudah mengambil kesempatan hasil kekalutan dihadapan pintu gol untuk meletakkan pasukan lawan dihadapan.

Kegembiraan Vietnam itu bagaimanapun hanya bertahan seminit sahaja apabila Harith Na’im Nasir yang melakukan gerakan solo di sebelah kiri pintu gol lawan berjaya menewaskan penjaga gol, Pham Van Tu untuk kembali mengikat kedudukan.

Rembatan padu Syahir Iqbal Khan Akbar Khan pada minit ketujuh ketika situasi sepakan ke dalam membolehkan skuad negara menghasilkan jaringan kedua untuk mendahului Vietnam.

Memasuki minit ke-19, Awalluddin Mat Nawi pula pantas menyambar bola ketika percubaan awal Faris Johan gagal ditangkap kemas Van Tu bagi melebarkan kedudukan buat Malaysia.

Tidak cukup dengan tiga jaringan tersebut, Syahir sekali lagi membuktikan kemampuannya dengan satu rembatan padu dari jarak jauh selepas menerima hantaran penjaga gol, Syaifuddin Syukri Ibrahim Lincoln untuk gol keempat pada minit ke-21.

Taktikal ‘Power Play’ dimainkan Vietnam membuahkan hasil dengan jaringan kedua yang dicipta menerusi Nguyen Manh Dung pada minit ke-37.

Syaifuddin Syukri jelas menjadi antara watak utama pada perlawanan ini bersandarkan kepada kekentalannya dalam menafikan deretan percubaan berbahaya dijelmakan Vietnam.

Kemenangan diraih cukup penting dalam usaha kem negara membuka peluang untuk meraih pingat pada edisi kali ini.

Skuad futsal Malaysia akan beraksi pada perlawanan ketiga dengan bertemu Myanmar di Stadium Nonthaburi, jam 8.00 malam.