Liga Malaysia muncul sebagai liga di rantau Asia yang paling banyak membekalkan pemain yang beraksi dalam temasya Piala Asia 2023 di Qatar.

Statistik ini dikeluarkan oleh salah seorang penulis bola sepak iaitu Paul Williams di laman media sosial X dimana seramai lapan pemain import Liga Malaysia bakal beraksi di Piala Asia dengan mewakili negara masing-masing.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Statistik ini merangkumi pemain dari sesebuah negara yang beraksi di liga luar negara asal tanpa mengambil kira pemain yang beraksi di saingan liga domestik.

Antara pemain import dalam saingan Liga Malaysia yang bakal beraksi di Piala Asia ialah Jordi Amat (JDT, Indonesia), Saddil Ramdani (Sabah, Indonesia), Amirbek Juraboev (Kedah, Tajikistan), Soony Saad (Penang, Lebanon), Noor Al-Rawabdeh (Selangor, Jordan), Fadi Awad (PDRM, Jordan), Jalil Elias (JDT, Syria) dan Moses Atede (Kedah, Bahrain).

Liga Bahrain menduduki tangga kedua dengan sumbangan tujuh pemain diikuti Liga Jepun, Uzbekistan dan Thailand dengan sumbangan seramai enam pemain.

Meskipun rata-rata pemain tidak beraksi untuk pasukan yang dicanang sebagai pilihan juara, namun mereka masih lagi mendapat kepercayaan untuk membawa tanggungjawab negara masing-masing beraksi di peringkat tertinggi.

Selain itu, statistik yang dikeluarkan menjadi bukti bahawa saingan Liga Malaysia marupakan satu liga yang kompetitif meskipun dilanda masalah lapuk yang saban tahun terjadi.

Pasukan negara akan membuka tirai Piala Asia 2023 dengan menentang Jordan pada 16 Januari. Bahrain menanti untuk perlawanan kedua pada 20 Januari dan pasukan negara menutup saingan peringkat kumpulan dengan turun menentang Korea Selatan pada 25 Januari.