Perak meraih kemenangan sulung dalam kempen Liga Super Malaysia 2024/24 selepas berjaya menundukkan Kedah 2-0 pada aksi ketiga yang berlangsung di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Kemenangan yang amat diharapkan skuad kendalian Yusri Che Lah itu hadir tepat pada masanya selepas mereka tunduk pada dua aksi awal bertemu Terengganu dan PDRM.

Manakala, Kedah pula meraih kekalahan kedua berturut-turut dimana sebelum ini skuad Kenari tewas 0-1 ditangan Selangor.

Tuan rumah bermula garang dengan tekanan diberikan ke arah kubu Perak yang dikawal Mohamad Ramadhan Ab Hamid.

Ramadhan bertindak cemerlang dalam menafikan percubaan terutamanya menerusi Syafiq Ahmad pada minit ke-13.

Kem pasukan pelawat melonjak kegembiraan pada minit ke-16 selepas hantaran jauh Luciano Guaycochea disudahkan dengan tenang Lee Tae-Min yang melepasi celah kaki penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Variasi hantaran jauh dilakukan pemain tengah Perak jelas membuatkan jentera pertahanan Kedah berada dalam tekanan bagi membolehkan Lee Tae-Min serta Wan Zack Haikal Wan Nor memberikan ancaman berbahaya dengan larian-larian deras di sebelah kiri dan kanan.

Ia hampir membuahkan hasil sekali lagi pada minit ke-30 tetapi Ariff Farhan Md Isa pantas melakukan bentesan untuk menghalang percubaan Wan Zack yang hanya berhadapan dengan Kalamullah.

Memasuki babak kedua, anak buah Nafuzi Zain meningkatkan intensiti permainan dengan lebih banyak melancarkan serangan.

Namun, sepakan percuma cantik diambil Sukhrob Nurulloev sekadar singgah di tiang gol ketika Ramadhan hanya mampu melihat bola menuju ke gawangnya pada minit ke-58.

Hanya dalam tempoh tiga minit selepas itu, Abdul Halim Saari dan Milos Gordic pula mendapat peluang tetapi kedua-dua percubaan tersebut hanya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Perak.

Ramadhan kemudiannya bertindak cemerlang dalam menafikan dua percubaan jarak dekat diledakkan oleh pemain gantian, Faiz Nasir.

Ketika Kedah bernafsu untuk menyamakan kedudukan, Perak menambah jaringan kedua hasil satu kombinasi menarik yang memberikan ruang buat Lee Tae-Min untuk melebarkan kedudukan.

Tekanan hebat ditampilkan Kedah selepas itu diserap dengan cukup baik barisan pertahanan Perak untuk mengesahkan tiga mata menjadi milik mereka.