Aksi Liga Super musim 2024-2025 antara Terengganu menentang Selangor di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini dijangka jadi tumpuan peminat bola sepak tempatan.

Ia ibarat perlawanan ‘perebutan tempat kedua’ apabila kedua-dua pasukan kini dalam kelompok 3 teratas Liga Super bersama juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Baca Juga:

Berdasarkan kedudukan terkini, Terengganu berada di tangga ketiga dengan 16 mata belakang Selangor di tangga kedua dengan 22 mata.

Oleh itu, skuad kendalian Tomislav SteinbrΓΌckner tekad benam Selangor untuk merapatkan jurang mata sekaligus menjadikan saingan semakin sengit.

Steinbruckner mengharapkan penyerang import baharu, Nelson Bonilla dapat menemui sentuhan penyudah pertama selepas gagal meledak gol pada penampilan pertamanya berdepan Sabah FC sebelum ini.

“Misi kita adalah tiga mata, jadi saya harapkan semua pemain yang diturunkan mampu memperagakan aksi terbaik lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri.

“Buat Bonilla, buktikan kemampuan anda untuk membantu pasukan merakam kemenangan, pada masa sama saya ingatkan kepada pemain agar tidak leka dan tidak melakukan kesilapan mudah,” katanya dipetik dalam Berita Harian.

Sementara itu, tonggak sayap Terengganu, Akhyar Rashid menasihatkan rakan sepasukannya agar sentiasa fokus dalam perlawanan menentang Selangor untuk mengelakkan kesilapan mudah.

“Menentang Selangor FC ianya perlawanan yang sukar kerana kami pernah bertemu dengan pasukan itu sebanyak dua kali pada aksi separuh akhir Piala FA musim ini, satu menang dan satu lagi tewas.

“Saya menasihati diri dan rakan sepasukan agar dapat memperagakan aksi terbaik selain tidak leka serta tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh mengundang padah kepada pasukan,” ujar pemain pinjaman JDT itu.